Kuala Lumpur: Beregu nombor tiga dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui berada dalam keadaan sedikit letih namun itu bukan alasan utama yang menyebabkan mereka dihantar pulang seawal pusingan pertama selepas tewas kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di Terbuka Indonesia, semalam.
Jelas Wooi Yik, mereka turun ke gelanggang dengan matlamat untuk mendapatkan kemenangan dan memberikan segala tenaga biarpun masa rehat yang ada agak singkat selepas mengharungi tiga final berturut-turut sebelum ini.
“Ya, sejujurnya, saya rasa keadaan (fizikal) tidak begitu baik untuk kami, tetapi kami masih cuba secara mental (untuk menang). Kami cuba tidak menyerah dan cuba mendapatkan setiap mata.
“Tetapi inilah dia, inilah permainannya. Saya rasa kita tidak boleh menafikan bahawa hari ini (semalam) mereka bermain lebih baik secara fizikal dan sangat segar berbanding kami. Jangan risau, kami akan berjuang lagi dan bangkit semula untuk kejohanan akan datang,” katanya.
Selain itu, ketika ditanya adakah disebabkan bertemu begitu kerap menjadi faktor utama pasangan Denmark itu boleh membaca taktikal permainan, Wooi Yik memaklumkan bahawa mereka tewas disebabkan tidak bermain dengan begitu baik dalam perlawanan berkenaan.
Sementara itu, Aaron mengakui beberapa kesilapan mudah di set ketiga itu membuka peluang kepada Kjaer-Sogaard kembali memimpin di penghujung permainan dan menyebabkan mereka tersungkur awal.
“Saya rasa itulah sebab utama dan menjadi punca kekalahan kami. Anda boleh lihat semasa di set penentuan, kami mendapat beberapa mata untuk mendahului permainan tetapi selepas rehat, mereka mula mengejar kami untuk menang.
“Kami sudah memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini dan bukan rezeki kami untuk mendapatkan kemenangan dan melangkah ke pusingan seterusnya,” kata Aaron.
sumber:- HM
Terdahulu, impian bekas juara dunia itu untuk meraih gelaran ketiga dalam empat pertandingan terakhir tidak kesampaian apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Kjaer-Sogaard dalam pertarungan tiga set 13-21, 21-19, 18-21 di Istora Senayan, Jakarta.