MANJUNG: Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mampu tersenyum lebar selepas skuad bimbingannya menang bergaya 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, di sini malam tadi.
Clayton Da Silva cemerlang meledak empat gol selain masing-masing satu daripada ketua pasukan Luciano Guaycochea, Adilet Kanybekov dan Tommy Mawat Bada untuk memastikan Perak naik tiga anak tangga ke kedudukan kelima carta liga mengumpul 22 mata.
Yusri berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemainnya yang memanfaatkan peluang untuk beraksi dengan baik bagi memperbaiki kedudukan liga.
“Tahniah kepada pemain kerana menggunakan peluang yang ada tanpa melepaskan sebarang gol kepada lawan sebaliknya berjaya mencipta lebih banyak jaringan.
“Saya harap pemain dapat kekalkan momentum kemenangan ini kerana masih ada beberapa perlawanan yang penting dan lebih sukar untuk kami harungi musim ini,” katanya kepada wartawan pada sidang media.
Yusri berkata, skuadnya mahu kekal fokus bagi perlawanan berikutnya bertemu Kuching City pada 7 Februari di Stadium Negeri, Kuching, sebelum menentang pendahulu liga Johor Darul Ta’zim pada 27 Februari.
“Kami sudah hampir sampai ke penghujung liga dan pemain seharusnya memastikan setiap minit itu cukup berharga untuk merebut segala peluang hingga akhirnya berjaya bantu pasukan raih tiga mata.
“Jika mereka sedar sebelum ini prestasi mereka tidak begitu baik, jadi mereka perlu memperbaiki diri sedikit demi sedikit untuk buat lebih baik daripada ini dalam aksi akan datang,” katanya.
Sementara itu, penolong ketua jurulatih KDN, Rezal Zambery Yahya berkata walaupun dihimpit pelbagai isu, pemainnya memanfaatkan peluang untuk membuktikan kemampuan apabila turun beraksi malam tadi.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pemain yang sanggup datang ke Manjung untuk bermain malam ini walaupun saya hanya berjumpa mereka sehari sebelum perlawanan.
“Memang saya akui kondisi pemain tidak begitu baik kerana sudah agak lama tidak menjalani latihan bersama apatah lagi berhadapan dengan pasukan yang baik seperti Perak, kami cuba untuk beri saingan namun ia tidak menjadi,” katanya.
Beliau berkata usaha untuk mengimbangi perlawanan tidak menjadi walaupun adakalanya pemain mampu mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol. – BERNAMA