sukan

Komunikasi mantap kunci kejayaan Pearly-Thinaah

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak menyifatkan keberanian mengubah corak taktikal serta komunikasi mantap di gelanggang sebagai kunci kejayaan pasangan utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah dalam kempen Jelajah Dunia BWF sejak beberapa minggu lalu.

Pasangan beregu wanita yang kini menghuni ranking keempat dunia itu mara ke final kejohanan badminton Terbuka Indonesia berstatus Super 1000 BWF (Persekutuan Badminton Dunia), sebelum tunduk kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam aksi penuh dramatik semalam.

Sekalipun tewas 23-25, 21-12, 21-19 selepas bertarung sengit selama 87 minit, ia boleh dianggap antara persembahan terbaik dalam karier Pearly-Thinaah yang tampil dengan semangat juang tinggi dan peningkatan konsisten khususnya sejak bulan lalu.

“Banyak perkara berlaku dalam empat minggu kebelakangan ini. Walaupun prestasi mereka ada turun naik, tetapi kesungguhan untuk mencuba pelbagai taktikal dan kecekapan komunikasi dalam gelanggang membawa impak yang sangat positif,” kata Rosman kepada BHSukan.

“Kami cuba pendekatan dan strategi baharu sepanjang tempoh itu, dan walaupun masih ada ruang untuk diperhalusi, hasilnya sudah mula kelihatan. Komunikasi antara mereka juga sangat membantu terutama ketika berdepan tekanan tinggi dalam perlawanan.”

Sepanjang kempen empat minggu terakhir ini, Pearly-Thinaah menjuarai Terbuka Thailand, mara ke separuh akhir Masters Malaysia dan suku akhir Terbuka Singapura.

Rosman dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada majikannya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang disifatkan membantu kemajuan prestasi yang dicapai anak buahnya.

Di sebalik kejayaan di atas gelanggang, Pearly dan Thinaah ketika ini berdepan kemelut berkaitan status kontrak mereka bersama BAM.

sumber:- BH

Dalam pada itu, kejayaan mara ke final Terbuka Indonesia dijangka akan melonjakkan kedudukan ranking Pearly-Thinaah ke tangga ketiga dunia dalam kemas kini ranking yang akan diumumkan oleh BWF esok.