MASALAH komunikasi yang suatu ketika dahulu menjadi punca kelemahan kini semakin mantap apabila beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei melangkah bergaya ke suku akhir Masters China Super 750 di Shenzhen Arena.
Pasangan ranking ketiga dunia yang juga juara dunia itu, sebelum ini pernah menerima teguran terbuka daripada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky kerana kurang komunikasi di gelanggang.
Namun kali ini mereka memperlihatkan kematangan taktikal apabila menewaskan gandingan Indonesia, Jafar Hidayatullah–Felisha Pasaribu 21-13, 13-21, 21-16 dalam pertarungan sengit selama 63 minit pada Khamis.
“Kami percaya pada satu sama lain dan itu banyak membantu kami. Komunikasi yang semakin baik membuatkan kami lebih tenang ketika berdepan detik genting.
“Fokus sekarang adalah pemulihan kerana esok (hari ini) kami perlu turun berjuang lagi,” kata Tang Jie.
Tang Jie turut menegaskan bahawa peranan mereka sebagai rakan sepasukan kini lebih seimbang, terutama apabila Ee Wei beraksi dalam keadaan kurang cergas.
“Hari ini Ee Wei tidak begitu sihat, jadi saya cuba pastikan dia selesa bermain. Itu membuatkan kami lebih stabil sebagai satu pasukan,” jelasnya.
Sementara itu, Ee Wei yang masih bergelut dengan batuk dan demam tetap mengakui bahawa komunikasi dengan Tang Jie menjadi faktor utama kejayaan mereka.
“Memang fizikal saya belum di tahap terbaik, tapi komunikasi membantu saya kekal fokus hingga ke penghujung perlawanan. Syukur kami berjaya melepasi cabaran ini,” katanya.