Amerika Syarikat: Pemain Argentina mencetuskan kontroversi selepas dilihat membelakangi pemain Sepanyol ketika juara baharu dunia itu menjulang trofi Piala Dunia sejurus tamat final di Stadium MetLife, awal pagi tadi.
Sepanyol muncul juara selepas menewaskan Argentina 1-0 menerusi jaringan Ferran Torres pada separuh masa pertama masa tambahan.
Sebaik wisel penamat dibunyikan, suasana bertukar tegang apabila pertahanan Argentina, Nahuel Molina mencetuskan pergaduhan dengan menumbuk dada kapten Sepanyol, Rodri yang berlari mendapatkan rakan sepasukan untuk meraikan kemenangan.
Pemain tengah Argentina, Leandro Paredes turut dilayangkan kad merah selepas wisel penamat apabila mencekik pemain tengah Sepanyol, Gavi sebelum menolaknya jatuh ke tanah.
Ketika majlis penyampaian pingat, pemain Sepanyol memberikan penghormatan kepada pemain Argentina yang diketuai Lionel Messi dengan membentuk barisan kehormat ketika mereka naik menerima pingat naib juara.
Namun apabila tiba giliran Sepanyol menerima pingat emas dan menjulang trofi Piala Dunia, pemain Argentina dilihat berjalan ke bahagian bertentangan padang dan membelakangi majlis berkenaan sambil menghadap penyokong mereka sendiri, tindakan yang dianggap ramai sebagai tidak menghormati lawan.
Bekas kapten England, Stuart Pearce yang membuat ulasan untuk talkSPORT berkata tindakan skuad Argentina itu cukup mengecewakan.
“Ketika Sepanyol mahu mengangkat trofi, semua pemain Argentina berdiri membelakangi majlis itu.
“Itu mungkin sudah cukup menggambarkan segala-galanya,” katanya.
Hos talkSPORT, Adrian Durham turut mengkritik tindakan skuad Argentina dan menyifatkan mereka gagal menunjukkan semangat kesukanan selepas tewas.
“Mereka langsung tidak menunjukkan sebarang kelas. Apa yang mereka lakukan hari ini amat memalukan.
“Penyokong Argentina memang hebat, tetapi pemain mereka langsung tidak dapat menerima hakikat tewas di final Piala Dunia.
“Malah ketika Rodri menerima anugerah pemain terbaik kejohanan, penyokong Argentina masih menyanyikan nama Messi dan Argentina.
“Argentina benar-benar memalukan sukan bola sepak dan Piala Dunia. Sepanjang kejohanan ini mereka juga menerima terlalu banyak keputusan yang memihak kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, pertahanan veteran Argentina, Nicolas Otamendi yang pernah bergandingan dengan Rodri di Manchester City, turut dilihat bertikam lidah dengan kapten Sepanyol itu sejurus tamat perlawanan.
Menurut Otamendi, Rodri dan Aymeric Laporte didakwa banyak merayu kepada pengadil sepanjang perlawanan.
“Awak menangis sepanjang minggu. Awak dan Laporte, kedua-duanya. Itu tidak betul. Awak asyik merayu kepada pengadil, kawan,” kata Otamendi.
Bekas pertahanan Manchester United dan England, Gary Neville pula mengecam tindakan Paredes yang mencetuskan kekecohan selepas tamat perlawanan.
“Dia memalukan. Apa yang dia lakukan memang memalukan,” kata Neville mengenai pemain tengah Argentina itu. – AGENSI