KUALA LUMPUR: Pendatang baharu Liga Super, Kelantan Red Warrior (KRW) FC enggan menjadi mangsa belasahan atau lubuk tiga mata kepada pasukan elit apabila akan membuat penampilan sulung dalam saingan tertinggi itu musim 2026/2027.
Menamatkan saingan di kedudukan keempat Liga A1 Semi Pro musim lalu, KRW bakal berdepan cabaran besar di pentas Liga Super yang memerlukan kualiti skuad jauh lebih tinggi untuk bersaing dengan kelab elit seperti Johor Darul Ta’zim, Selangor dan Kuching City.
Ketua jurulatih KRW, Irfan Bakti Abu Salim bagaimanapun percaya barisan pemainnya sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk mempersiapkan diri mengharungi musim baharu ini bagi memastikan mereka mampu memperoleh keputusan positif serta tidak tercicir banyak mata.
“Sudah tentu saya gembira kerana akhirnya dapat membawa pasukan ini ke pentas Liga Super walaupun dalam masa sama gundah gulana juga untuk mempersiapkan pemain yang ada setakat ini sahaja.
“Apa pun, pemain memang sedar bahawa beraksi di Liga Super memang tidak sama dengan Liga A1 dan akan menjadi lagi susah kalau tiada persediaan yang bagus untuk beraksi di pentas tertinggi ini.
“Saya kalau boleh tidak mahulah kalau pasukan ini sampai jadi kelab belasahan sebab kita juga ingin memberi persaingan dan saya percaya usaha dan kerja keras akan membuahkan hasil,” katanya.
Kali terakhir Irfan mengemudi kelab di pentas Liga Super adalah ketika bersama Kuching City FC pada musim 2021 sebelum memilih untuk bersara daripada Liga Malaysia (Liga M).
Namun, beliau kemudiannya bersetuju untuk menggalas semula tanggungjawab sebagai ketua jurulatih apabila diberi kepercayaan untuk mengemudi KRW FC sejak musim lalu selain mengakui tidak sangka akan kembali ke pentas Liga Super sekali lagi.
“Saya sebenarnya memang sudah berniat nak bersara selepas Kuching City, tetapi apabila pihak pengurusan KRW FC datang sendiri ke rumah untuk memujuk, akhirnya saya terima. Tidak sangka kami berjaya untuk memberi saingan terbaik di Liga A1 dan layak beraksi di pentas Liga Super.
“Kami pun sedar dalam pasukan ini mungkin tiada pemain yang memiliki nama besar dan saya tetap berpesan kepada mereka bahawa kecergasan adalah aspek utama yang kena pegang dan usaha kena tiga kali ganda daripada Liga A1,” katanya.
Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan KRW FC bakal beraksi dalam saingan Liga Super 2026-2027 berikutan keputusan penarikan diri PDRM FC.
Kelab yang berpangkalan di Kota Bharu itu dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC (ke-6 Liga A1) dan Bunga Raya FC (ke-12 Liga A1) yang turut mengemukakan permohonan selepas mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada First Instance Body (FIB).