KUALA LUMPUR: Pemain berdarah warisan yang bakal menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Hevel mengakui Liga Malaysia (Liga M) tetap memiliki keistimewaan tersendiri sekali gus menyaksikan beliau tidak sabar untuk menantikan aksi musim baharu nanti.
Hevel yang bakal meninggalkan Portimonense itu mengakui kancah domestik tetap menjanjikan aksi yang menarik terutama selepas melihat sendiri kualiti pemain dari liga tempatan yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
“Liga M agak baik. Jadi untuk pemain yang sudahpun berada dalam pasukan kebangsaan, mereka berada pada tahap sendiri yang membuktikan betapa mereka yang terbaik di dalam negara ini dan kebanyakannya daripada mereka beraksi dalam liga di sini.
“Jadi ini menunjukkan liga ini ada kualiti tersendiri, begitu juga dengan kualiti pemain yang beraksi sini. Jadi saya ini Liga M adalah satu liga yang baik,” kata Hevel.
Sebagai rekod, pemain berusia 29 tahun itu akan beraksi buat pertama kali di Asia Tenggara selepas majoriti karier bola sepaknya berkisar di Eropah bersama pasukan seperti ADO Den Haag, AEK Larnaca, Andorra, Cartagena dan Portimonense.
Namun, ini bukan kali pertama beliau berkelana di Asia memandangkan pernah bersama kelab Liga Satu China, Guangxi Pingguo pada musim 2024/25.
Mengulas lanjut mengenai perbezaan antara Liga M dan liga yang pernah diwakilinya, Hevel menyifatkan perbezaan yang boleh disaksikan adalah membabitkan rentak permainan sekall gus mengakui tiada jurang yang agak besar antara kedua-dua liga terbabit.
“Mungkin hanya sedikit rentak kerana di sana, mereka ada rentak yang lebih tinggi. Tetapi tidak ada banyak perbezaan kerana ini adalah bola sepak, semua orang ada taktikal tersendiri dan cara permainan mereka.
sumber:- BH
“Jadi ia bergantung kepada setiap negara kerana ada liga yang memiliki kelebihan tersendiri berbanding liga lain tetapi semuanya hampir sama,” katanya.