sukan

Kuching City FC buat keputusan mengejut tamatkan kontrak Gabriel Palmero

KUCHING: Kuching City FC mengesahkan kontrak pemain ‘warisan’, Gabriel Palmero ditamatkan secara bersama selepas keputusan penggantungan dikenakan ke atas pemain berkenaan.

Presidennya, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama antara kedua-dua pihak beberapa hari selepas hukuman diumumkan.

“Selepas berbincang, kita mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak dan beliau kini membawa haluan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini hari ini.

Menurutnya, pihak kelab sudah mengambil kira risiko sebelum ini termasuk kemungkinan berlakunya isu berkaitan status pemain.

Mengulas isu berasingan, Fazzrudin berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi menyiasat kemungkinan berlaku kesilapan teknikal dalam pendaftaran pemain.

Katanya, terdapat situasi membabitkan pemain yang sudah didaftarkan oleh pasukan namun tidak disenaraikan oleh pegawai perlawanan.

“Kita sudah mengisi dan menyerahkan pendaftaran pemain, tetapi berlaku keciciran nama ketika senarai rasmi perlawanan dikeluarkan.

“Sebaliknya, nama pemain lain dimasukkan walaupun beliau tidak bersama pasukan ketika itu,” katanya.

Beliau menambah, terdapat sekurang-kurangnya dua kes terdahulu yang menjadi rujukan apabila kesilapan teknikal pegawai perlawanan diterima dan diperbetulkan.

“Kita akan terus berjuang berdasarkan peraturan sedia ada dan berharap MFL meneliti perkara ini dengan sewajarnya serta memberikan penyelesaian terbaik,” katanya.