sukan

Kuching City kembalikan kegemilangan bola sepak kepada rakyat Sarawak

KUALA LUMPUR: Tiada siapa sangka bermula dari Liga Bolasepak Rakyat pada 2015, kini Kuching City berjaya meletakkan diri mereka sebagai antara pencabar utama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Kejayaan melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama selepas menyingkirkan Selangor dengan agregat 2-1 di separuh akhir menjadi sejarah terbesar yang dilakar kelab dari Sarawak itu setakat ini.

Ia juga menyaksikan Kuching City menamatkan penantian selama 27 tahun untuk pasukan dari Sarawak berada di pentas akhir Piala Malaysia selepas tahun 1999 yang mana ketika itu Sarawak tewas 1-2 kepada Brunei dalam aksi final.

Malah, skuad The Cats juga berpeluang mencipta sejarah lebih besar membawa trofi berprestij itu buat kali pertama ke bumi Sarawak sekiranya berjaya mengejutkan pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 23 Mei ini.

Peningkatan demi peningkatan yang dipamerkan Kuching City juga menyaksikan mereka berjaya menawan hati penyokong dan buktinya apabila 19,855 penonton membanjiri Stadium Negeri ketika aksi separuh akhir kedua menentang Selangor, Sabtu lalu.

Pengerusi Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan sokongan padu yang diberikan rakyat Sarawak terhadap Kuching City menunjukkan kegemilangan bola sepak negeri itu sudah kembali.

“Sudah tentu ia detik yang bersejarah bagi kami, tahun yang ke-10 dan kami berjaya layak ke peringkat akhir (Piala Malaysia). Bukan sahaja kemenangan untuk Kuching City, tetapi ia memberi pengharapan kepada semua pemain bola sepak di Sarawak.

“Apa yang saya amat terharu sekali, jam 4 petang atau 5 petang sudah penuh stadium. Ia menunjukkan kegemilangan bola sepak Sarawak sudah kembali dan kami mahu mengekalkan perkara itu, langkah demi langkah.

“Alhamdulillah kami ke peringkat akhir Piala Malaysia. Minta tolong semua penyokong kami di Semenanjung, jumpa kami di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti, kita penuhkan Bukit Jalil,” katanya.

Selain Piala Malaysia, Kuching City yang ketika ini menghuni tangga kedua Liga Super berada di landasan terbaik untuk bergelar naib juara liga utama itu dan mencipta satu lagi sejarah bersaing di pentas Asia iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Terikat 43 mata bersama pasukan tangga ketiga, Selangor, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu dianggap memiliki peluang lebih baik untuk muncul naib juara kerana memiliki baki empat perlawanan, lebih satu aksi berbanding Gergasi Merah yang berbaki tiga perlawanan.