sukan

Kuljanac kecewa ‘lakonan’ pemain

GEORGETOWN: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Miroslav Kuljanac kecewa apabila rentak permainan kerap terganggu dengan ‘lakonan’ pemain ketika skuad kendaliannya tewas 0-1 kepada Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi.

Kuljanac tanpa berselindung menyifatkan keadaan sedemikian tidak menterjemahkan semangat perlawanan bola sepak sebenar.

Lebih malang, KL City turut kehilangan tonggak pertahanan import mereka, Adrijan Rudovic yang dilayangkan kad merah hanya beberapa minit sebelum perlawanan itu tamat.

“Kami kehilangan dia (Rudovic). Saya sendiri tidak nampak dengan jelas situasi yang berlaku, jadi saya tak pasti tentang kad merah tersebut. Dalam tempoh 20 minit terakhir, kami tidak bermain bola sepak kerana banyak kali permainan dihentikan.

“Mungkin saya tinggal di negara yang budaya bola sepaknya berbeza. Di tempat saya, tak ada perkara seperti anda baring lima minit, kemudian bangun main semula seperti tiada apa-apa berlaku,” katanya.

Pada aksi berkenaan, jaringan penyerang skuad Bawah 23 Tahun, Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar pada minit ke-27 meleburkan impian KL City untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mat.

Kuljanac bagaimanapun tetap berfikiran positif dan berkata dalam kebanyakan perlawanan dihadapi, pasukannya boleh dikatakan mempersembahkan aksi yang baik meskipun skuad The City Boys berdepan detik mencabar musim ini.

“Ia adalah musim yang sukar dengan banyak masalah. Ada banyak perkara perlu dilihat, antaranya kenapa kita hilang enam mata penting. Namun bagi saya, kami bermain dengan baik hampir sepanjang masa.

sumber:- BH

“Saya harap kami akan tutup musim ini dengan kemenangan. Banyak perkara yang perlu dianalisis tetapi sekarang bukan masa sesuai,” tegasnya.