Kuala Terengganu: Pertahanan tinggi lampai kelahiran Brazil, Diego Landis kini berada dalam radar Terengganu FC (TFC) bagi mengisi rekrut terakhir pemain import pasukan itu musim 2025/2026.
Selain berlegar dalam laman sosial, sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut memaklumkan pemain berketinggian 1.93 meter itu hampir pasti ‘dirantai’ skuad Penyu musim ini.
Jelas sumber itu lagi, bekas pemain pertahanan kelab Liga Thailand, Khon Kaen United itu dilaporkan akan tiba di Kuala Terengganu dalam minggu ini sebelum diperkenalkan kepada peminat secara rasmi jika semuanya selesai.
Namun sekiranya beberapa dokumen tidak dapat diselesaikan termasuk berkenaan laporan kesihatan, berkemungkinan pemain berusia 27 tahun itu bakal diganti dengan pemain lain.
“Setakat ini pemain berasal dari Brazil itu hampir pasti menyarung jersi TFC pada musim ini bagi mengisi kuota terakhir pasukan dengan enam import.
“Pemilihan pemain itu berdasarkan pengalamannya yang pernah beraksi di ASEAN bersama kelab Thailand selain pernah bermain dengan kelab Porto B dalam Liga Portugal pada 2018-2019.
“Kehadiran pemain yang pernah menyarung jersi enam kelab berbeza itu adalah bagi memperkasakan lagi barisan pertahanan.
“Bagaimanapun keputusan muktamad sama ada pemain itu akan menyarung jersi TFC ataupun sebaliknya bergantung pemeriksaan kesihatan ke atas pemain itu, jika lulus berkemungkinan besar dia bakal bersama TFC,” ujar sumber itu ketika dihubungi.
sumber:- HM
Terdahulu skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu sudah menandatangani lima pemain import iaitu Yann Mabella (Perancis), Careca (Brazil), Gabriel Costa (Brazil), Junior Sam (Cameroon) serta menyambung kontrak pemain musim lalu kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.