KUALA LUMPUR: Langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cuba mengheret kes membabitkan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain berdarah warisan negara boleh dianggap seperti mencabar keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim mengakui FAM dan bola sepak negara perlu bersedia untuk berdepan kesan yang lebih besar sekiranya keputusan di CAS itu tidak berpihak kepada mereka.
Jelasnya, FIFA sudah mengemukakan bukti yang kukuh mengenai pemalsuan dokumen menerusi ‘motivated decisions’ yang dikeluarkan sekali gus menyaksikan hukuman yang dikenakan sebelum ini tidak berganjak.
“Kita tengok FIFA memang sudah mengemukakan bukti sahih yang mereka ada untuk mengenakan tindakan terhadap FAM. Jadi apabila kita membawa kes ini ke CAS, ia seolah-olah kita mencabar apa yang ada pada mereka.
“Ada kemungkinan kita akan dikenakan tindakan lebih tegas dan lebih keras. Jadi untuk itu, kita patut bersedia dengan apa sahaja yang akan terjadi jika kita meneruskan kes ini ke CAS,” kata Zulakbal.
Sebelum ini, BH melaporkan FIFA boleh meningkatkan denda dan penggantungan sekiranya rayuan FAM tidak berjaya di peringkat CAS.
FIFA melalui jawatankuasa rayuan memutuskan untuk mengekalkan keputusan asal iaitu mengenakan denda RM1.8 juta kepada badan induk bola sepak negara.
FIFA turut mengekalkan hukuman terhadap tujuh pemain termasuk penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak serta denda RM10,500 bagi setiap pemain.
Terdahulu, FIFA mengeluarkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan yang menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain terbabit dan situasi ini menyaksikan FAM akan memulakan proses untuk membawa kes itu ke CAS.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan langkah untuk membawa kes berkenaan ke CAS diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan berkaitan.