Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara tidak boleh memandang sebelah mata kemampuan Laos dalam saingan Sukan Sea 2025 di Thailand, bulan depan.
Menurut pengendali pasukan, Nafuzi Zain, pasukan Laos boleh menjadi duri dalam daging buat skuad negara sekiranya sikap sambil lewa diambil pemainnya.
Katanya, Laos antara pasukan melakukan persiapan awal dan ia dapat dilihat ketika mereka menentang skuad Harimau Malaya dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bulan lalu.
Dalam dua aksi peringkat kelayakan itu, Malaysia menang 3-0 di Vientiane sebelum membelasah mereka dengan 5-1 di Bukit Jalil.
Ujarnya, langkah Laos membariskan majoriti pemain muda dalam dua perlawanan itu membuktikan mereka serius menghadapi temasya Sukan Sea nanti.
“Pasukan Laos membuat dari segi persediaan rapi untuk Sukan Sea ini, dan majoriti pemain-pemain Laos bermain ketika menentang pasukan kebangsaan kita Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia sebelum ini.
“Saya rasa bukan satu tugas mudah untuk kita layak dengan mudah,” katanya yang akan memulakan kem latihan pusat pada penghujung bulan ini.
Di temasya dwitahunan itu nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Laos dan gergasi bola sepak rantau ini iaitu Vietnam.
“Kita berada dalam kumpulan bukan mudah, bagi saya yang agak mencabar dan laluan sukar. Kalau kita tengok Vietnam menjuarai Piala AFF B-23 di Jakarta (Julai lalu) dan layak ke Piala Asia B-23 (di Arab Saudi Januari depan).
“Saya rasa bukan satu tugas mudah untuk kita layak dengan mudah. Memang impian kita untuk mendapatkan pingat emas, tapi kita mesti melalui dua perlawanan dengan keputusan yang cemerlang.
“Terutamanya untuk kita layak ke separuh akhir dan itu sasaran yang perlu kita buat untuk mara ke seterusnya ke separuh akhir untuk kita mengimpikan pingat emas,” katanya.
Kali terakhir skuad negara memenangi ibu segala pingat di Sukan Sea adalah pada temasya 2011 di Jakarta, Indonesia.