sukan

Lawan Harimau Malaya diumumkan esok

KUALA LUMPUR: Debaran mula dirasai skuad Harimau Malaya apabila bakal mengetahui lawan mereka bagi kempen kelayakan Piala Asia 2027 selepas majlis undian, esok.

Berdasarkan kedudukan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), skuad negara yang berada di tangga ke-132 dunia diletakkan dalam balang dua bersama Turkmenistan (ranking 143), Filipina (149), Afghanistan (155), Hong Kong (156) dan Yaman (158).

Balang satu akan diisi Syria yang berada di ranking ke-95 dunia selain Thailand (97), Tajikistan (104), Lubnan (112), Vietnam (116) dan India (127).

Sementara itu, balang tiga dihuni Singapura (161), Maldives (162), Taiwan (165), Myanmar (167), Nepal (175) dan Bhutan (182) manakala Brunei (184), Bangladesh (185), Laos (186), Timor Leste (196), Pakistan (198) dan Sri Lanka (200) dalam balang empat.

Pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula Mac tahun depan dibahagikan kepada enam kumpulan dengan hanya juara setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir di Arab Saudi.

Berada dalam balang dua, Malaysia berdepan misi besar untuk muncul juara dan mengulangi pencapaian mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Perkara itu tidak mustahil mampu dilakukan dengan struktur baharu pengurusan Harimau Malaya yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat bagi mengemudi Harimau Malaya ke prestasi lebih baik.

Apa yang pasti, barisan kejurulatihan yang baharu akan menggalas tugas untuk memacu Harimau Malaya bagi kempen kelayakan Piala Asia 2027.

sumber:-BH

Ia susulan ketua jurulatih, Pau Marti Vicente pada Khamis lalu sudah mengumumkan akan berpisah dengan Harimau Malaya selepas saingan Piala ASEAN 2024.