KUALA TERENGGANU: “Pemain perlu cipta jaringan awal,” kata ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ dalam kalangan pemain dan peminat.
Jurulatih yang sudah memasuki musim kedua membimbing TFC itu berkata demikian menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA berdepan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.
Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, jaringan awal penting bagi meningkatkan lagi motivasi pemain selain mengelak tekanan lebih-lebih lagi hanya selangkah sahaja lagi sebelum aksi final.
“Jika berpeluang, pemain perlu meledak seberapa banyak jaringan sebagai bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di tempat lawan pada 3 Ogos depan dalam misi mara ke final selepas terkandas pada peringkat separuh akhir saingan sama musim lalu kepada KL City FC.
“Dengan prestasi semasa dan motivasi yang tinggi pemain selepas membenam cabaran Sabah FC dengan agregat 7-0 pada aksi suku akhir, saya percaya anak buah mampu menyajikan persembahan terbaik mereka.
“Pada masa sama sokongan padu daripada peminat setia yang pasti membanjiri stadium bakal menambah lagi motivasi pemain untuk berjuang dalam aksi penting itu,” ujar Steinbruckner ketika dihubungi.
Ketika ditanya pilihannya di posisi penjaga gol, jurulatih berusia 58 tahun itu akui ‘pening’ untuk membuat keputusan selepas tiga pemain iaitu Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, Suhaimi Husin dan Rahadiazli Rahalim berada pada tahap prestasi terbaik.
“Bagaimanapun kemungkinan besar Syed Muhammad Nasrulhaq yang beraksi cemerlang pada aksi suku akhir berdepan Sabah FC bakal diberikan peranan sekali lagi dalam kesebelasan utama pasukan.
sumber:-BH
“Pertahanan import, Mathew Steenvoorden yang baharu kali pertama beraksi pada musim ini ketika aksi suku akhir kedua di Likas bakal disenaraikan dalam pasukan,” katanya.