sukan

Lee Zii Jia Sertai Latihan Skuad Kebangsaan

Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen mengesahkan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia akan menyertai latihan skuad kebangsaan bermula esok sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Menurut Jonassen, bekas juara Seluruh England itu akan menyertai beberapa sesi latihan terpilih, khususnya membabitkan perlawanan simulasi bersama pemain skuad kebangsaan.

“Kami ada beberapa hari tertentu di mana dia akan menyertai latihan dari segi perlawanan. Saya tidak sabar untuk mengalu-alukan kehadirannya.

“Dia pemain berpengalaman dan bertaraf dunia, jadi bersama jurulatihnya (Liew Daren), kami akan menyelaras bagaimana ia sesuai dalam persekitaran latihan supaya semua pihak mendapat manfaat,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Jurulatih dari Denmark itu menekankan bahawa proses akan dijalankan secara berperingkat dan bukannya penyelesaian segera, dengan komunikasi dan matlamat bersama menjadi kunci utama.

“Tiada apa yang bermula dengan sempurna. Kami perlu belajar dari satu sesi ke sesi berikutnya dan menambah baik langkah demi langkah.

“Ia mengenai matlamat bersama dan memastikan persekitaran itu menyokong perkembangan semua pemain,” katanya.

Kehadiran pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu dijangka memberi elemen tambahan kepada skuad negara dalam usaha memburu pencapaian terbaik di Horsens.

Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-80 dunia dijangka menggalas peranan sebagai perseorangan ketiga, selain turut bersetuju menyertai kem latihan berpusat di Herning bermula 14 April ini sebagai tanda komitmennya terhadap pasukan.

Leong Jun Hao dijangka mengetuai cabaran sebagai perseorangan pertama, manakala Justin Hoh bakal mengisi slot perseorangan kedua.

Seorang lagi pemain profesional, Aidil Sholeh Ali Sadikin sudah melaporkan diri menjalani latihan di ABM dan akan mengikuti program yang dirangka Jonassen.