KUALA TERENGGANU – Apa yang sepatutnya menjadi pentas pembangunan bola sepak akar umbi bertukar menjadi medan kekecohan apabila aksi final Piala YB ADUN Buluh Gading antara Tanjung Sabtu FC dan Paya Datu FC dicemari insiden panas oleh segelintir penyokong yang bertindak di luar kawalan.
Insiden berlaku pada minit ke-82 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, apabila penyokong dipercayai dari kem Tanjung Sabtu bertindak membaling mercun ke arah padang dan menyalakan suar, menyebabkan perlawanan terhenti serta mencetuskan suasana panik2.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan pengadil dan pemain Paya Datu FC berlari menyelamatkan diri selepas mercun dibaling ke arah mereka ketika sedang memantau seorang pemain yang terbaring di tepi padang. Beberapa tonggak pasukan dilaporkan berang dengan tindakan penyokong yang membahayakan keselamatan mereka.
“Mercun itu dibaling ketika pengadil sedang melihat keadaan pemain yang cedera. Semua orang panik dan berlari,” kata seorang saksi yang hadir di stadium.
Kekecohan itu memaksa perlawanan ditamatkan lebih awal, dengan Paya Datu FC dinobatkan sebagai juara selepas mendahului ketika insiden berlaku.
Insiden ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, yang rata-rata mengecam tindakan penyokong terbabit sebagai “memalukan” dan “mentaliti kelas belakang”. Liga DUN Terengganu sebelum ini dipuji sebagai platform pembangunan bakat muda, namun insiden seperti ini boleh menjejaskan kredibiliti dan sokongan masyarakat terhadap bola sepak komuniti.
“Liga DUN je pun, tapi pengadil jadi mangsa. Ini bukan budaya bola sepak yang kita mahu,” tulis seorang pengguna di Facebook.
Penganjur dijangka mengambil tindakan disiplin terhadap pasukan dan penyokong yang terlibat, termasuk kemungkinan penggantungan atau larangan penyertaan pada edisi akan datang.
Insiden ini menjadi peringatan bahawa walaupun bola sepak di peringkat akar umbi tidak disiarkan secara langsung di televisyen, ia tetap memerlukan kawalan keselamatan dan pendidikan penyokong yang serius. Tindakan membaling mercun dan menyalakan suar bukan sahaja melanggar undang-undang stadium, tetapi juga boleh mencederakan pemain, pegawai dan penonton lain.
Pihak berkuasa dan penganjur liga digesa untuk memperketatkan kawalan keselamatan serta melaksanakan kempen kesedaran agar penyokong memahami peranan mereka dalam menyokong secara beretika dan bertanggungjawab.