sukan

Liga M tak mungkin terkubur

KUALA LUMPUR: Saingan Liga Malaysia (Liga M) dianggap tidak akan terkubur meskipun banyak pasukan dilaporkan berdepan masalah kewangan yang serius musim ini.

Pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan hanya pasukan yang berdepan isu kewangan berpotensi terkubur.

Zulakbal itu menjelaskan, meskipun mungkin akan ada pasukan yang terkubur, namun beliau percaya saingan Liga M tetap akan diteruskan dengan kemungkinan hanya berlaku pengurangan pasukan bertanding.

Beliau bagaimanapun percaya, pasukan yang bermasalah itu berkemungkinan besar bakal diselamatkan atau akan ada pasukan lain yang akan menggantikan tempat mereka dalam Liga M.

“Saya fikir memang ada potensi kalau kita tak kawal perkara ini (masalah kewangan) boleh menyebabkan pasukan yang ada masalah terkubur, sebab kalau kita tengok memang sudah ada pasukan yang terkubur sebelum ini.

“Namun, saya fikir untuk liga kita terkubur jauh lagi kerana apabila satu pasukan terkubur, ada orang yang bercita-cita besar akan berbelanja untuk mencipta nama menerusi bola sepak.

“Malah, penganjur liga iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan berusaha mencari pengganti sekiranya terdapat pasukan yang terkubur. Liga kita tak mungkin atau susah untuk terkubur, kalau pasukan terkubur ada potensinya.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL serta pemimpin negara pun tak akan biarkan liga terkubur kerana ia sukan yang diminati rakyat dan menjadi ejen perpaduan selain medan pembentukan pasukan kebangsaan,” katanya kepada BH Sukan.

Masalah kewangan yang dihadapi pasukan Liga M musim ini dianggap semakin teruk dengan beberapa pasukan besar gagal membayar gaji pemain selama berbulan-bulan.

Mengulas lanjut, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjelaskan isu tunggakan gaji turut memberi kesan pasukan kebangsaan.

Beliau berkata, ia kerana pemain yang berbakat berdepan tekanan dengan isu tunggakan gaji dan tidak dapat mempamerkan prestasi terbaik di atas padang, sekali gus menjejaskan potensi mereka dipilih menyarung jersi Harimau Malaya.

“Prestasi pemain yang tak dibayar gaji memang akan merudum. Bukan kata pemain, semua manusia kalau gaji tidak dibayar pun akan merudum prestasi kerjanya. Malah, pemain pelapis juga mungkin akan berfikir dua kali untuk meneruskan kerjaya dalam bola sepak.

sumber:-BH

“Pasukan kebangsaan adalah cerminan produk liga kita. Tapi sekarang seolah-olah kita hilang keyakinan terhadap bakat tempatan dalam liga kita sendiri menyebabkan kita banyak bergantung terhadap pemain naturalisasi dan kacukan,” katanya.