KOTA KINABALU: Sabah gagal menamatkan aksi terakhir Liga Super musim ini dengan nota positif apabila tunduk 0-1 kepada Perak FC di Stadium Likas, sebentar tadi.
Lebih mengecewakan, gol tunggal perlawanan pada minit ke-27 adalah hasil jaringan sendiri kapten tuan rumah, Rawilson Batuil, yang tertampan masuk sepakan silang Muhammad Farris Izdiham dari sebelah kanan.
Walaupun kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan Sabah di tangga ketiga liga, impian Sang Badak untuk menutup tirai musim dengan kemenangan tidak kesampaian.
Sejak awal permainan, Sabah kelihatan bergelut dengan rentak dan sering diasak oleh Perak yang tampil lebih tersusun serta agresif mencipta peluang.
Perak menguasai hampir keseluruhan babak pertama dengan permainan banyak berlegar di kawasan tuan rumah, sebelum kesilapan komunikasi menyumbang kepada gol sendiri Rawilson.
Cuba bangkit selepas ketinggalan, Sabah memasukkan penyerang, Muhammad Farhan Roslan, namun dikejutkan dengan satu lagi tamparan apabila pertahanan Dinesh Rajasingam dilayangkan kad merah pada minit ke-41 susulan insiden ‘kaki tinggi’ ke muka pemain Perak, Ahmad Daniel Hakimi.
Perak hampir menambah jaringan pada masa kecederaan babak pertama, namun percubaan mereka berjaya diselamatkan Park Taesu di atas garisan gol.
Memasuki separuh masa kedua, Farhan cuba mencipta impak segera dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-46, namun hantaran lintangnya gagal disempurnakan oleh Muhammad Firdaus Chew yang merembat tinggi ke luar.
Beberapa gerakan solo Farhan selepas itu berjaya melepasi kawalan pertahanan Perak, namun kurangnya sokongan rakan sepasukan menyukarkan misi Sabah mencari gol penyamaan.
sumber:- BH
Perak yang memiliki kelebihan seorang pemain cuba menekan Sabah untuk mencari gol kedua namun kekentalan benteng tuan rumah serta aksi cemerlang dua penjaga gol, Damien Lim dan penggantinya Mohd Ramzi Mustakim, berjaya menafikan segala usaha mereka.