Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan Sabah FC terus kempunan memburu kemenangan pertama apabila mudah membelasah skuad Badak 8-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan penuh bergaya itu bagaikan mengembali semangat barisan pemain Xisco Munoz yang dibelenggu perasaan kecewa selepas tumpas 1-2 kepada Buriram United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), 16 September lalu.
Malah ia juga mengukuhkan kedudukan skuad Harimau Selatan di tangga teratas dengan mengumpul 18 mata selepas mengharungi enam perlawanan dan masih kebal dengan rekod tanpa kalah dalam saingan liga elit domestik.
Sebaik perlawanan bermula, JDT hampir merobek gawang Sabah FC seawal minit ketiga berpunca daripada bola sepakan sudut Arif Aiman Hanapi ditanduk kemas Eddy Israfilov tetapi berjaya ditampan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Namun Khairul Fahmi akhirnya tertewas selang tiga minit kemudian selepas bola gerakan Arif Aiman yang melintang bola tepat kepada Joao Figueiredo yang bingkas mengumpan bola kepada Oscar Arribas bertindak pantas merembat bola leret untuk meletak JDT mendahului 1-0.
Serangan balas JDT pada minit ke-11 menerusi gerakan Arribas mencetus gol kedua tuan rumah apabila bola umpanan kepada Figuereido disempurnakan dengan bergaya oleh pemain warisan Harimau Malaya itu yang mudah memperdaya Khairul Fahmi bagi menjaringkan gol.
Skuad Harimau Selatan terus mengganas bagi memastikan skuad kendalian Jean Paul Marigny terkedu dengan gol ketiga tuan rumah apabila gerakan menarik yang dimulakan Ager Aketxe pada minit ke-23 melakukan lorongan cantik untuk Arif Aiman yang pantas melintangkan bola dan Figueiredo menyepak bola masuk untuk mencetak gol kedua peribadi.
JDT terus menghampakan skuad Badak di minit ke-44 selepas bola sepakan sudut Aketxe gagal ditanduk keluar James Ingham yang singgah di kaki Raul Parra sebelum bertindak merembat bola leret menewaskan Khairul Fahmi.
Memasuki minit kecederaan sebelum babak pertama berakhir, Figueiredo melengkap hatrik pertamanya apabila mempamerkan skil individu untuk menyudahkan bola umpanan Arribas bagi membawa bekalan selesa 5-0 sebelum melangkah masuk ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, Bergson da Silva terlepas peluang untuk mencipta jaringan pada minit ke-53 sekali gus melakar rekod baharu penjaring sepanjang zaman liga tatkala sudah menyamai jaringan 106 yang dibuat Indra Putra Mahayuddin.
Akhirnya impian Bergson untuk mencipta rekod baharu penjaring terbanyak liga sepanjang zaman dengan 107 gol memadam rekod Indra Putra terlaksana pada minit ke-61 apabila mudah menyudahkan sepakan penalti menewaskan Khairul Fahmi.
Bisa Bergson kembali menyengat pada minit ke-74 apabila menanduk kemas bola untuk mencetak gol kedua peribadi dan jaringan 108 sepanjang zaman hasil bola sepakan sudut Arif Aiman bagi meletak tuan rumah dengan jaringan 7-0.
Malah Bergson juga enggan terlepas untuk mencipta hatrik pada minit akhir aksi dan segalanya berpunca daripada gerakan solo Arif Aiman yang bertindak mengumpan bola kepada pemain import dari Brazil untuk meledak jaringan menewaskan Khairul Fahmi untuk melengkap kemenangan 8-0 pada perlawanan itu.