sukan

Liga Super: KL City kenduri gol di Stadium Cheras

KUALA LUMPUR: KL City FC menutup musim 2024/25 dengan penuh bergaya menerusi kemenangan 5-2 ke atas pasukan tercorot Liga Super, Kelantan Darul Naim (KDN FC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Miroslav Kuljanac merakam kemenangan ke-11 musim ini dan menghimpun 31 mata daripada 24 perlawanan.

KDN FC pula akur dengan kekalahan ke-21 dan sekadar mengutip tujuh mata sepanjang musim ini.

Pada aksi terbabit, Zhafri Yahya memberikan gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-24 sebelum KDN FC mengikat kedudukan menerusi Adam Danial Md Zaid pada minit ke-45.

Namun hasrat KDN FC menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan 1-1 tidak kesampaian selepas Zhafri meledak gol kedua pada masa tambahan untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Bersambung lepas rehat, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman mengejutkan KL City FC dengan gol penyamaan pada minit ke-53.

Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-70 dengan dua gol pantas menerusi jaringan Paulo Josue (m71) dan Haqimi Azim Md Rosli (m74) kembali membolehkan KL City FC memimpin perlawanan.

sumber:- BH

Ryan Lambert menambah derita pelawat dengan gol kelima pada minit ke-86 dan kedudukan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan.