Batu Kawan: KL City FC (KL City) memulakan kempen Liga Super 2025/2026 dengan langkah kanan apabila berjaya membenam pendatang baharu, Imigresen FC (IFC) 0-3 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang di sini, petang tadi.
Gol pembukaan kem pelawat hadir pada minit ke-30 melalui jaringan sendiri kapten pasukan tuan rumah, Rizal Ghazali yang sebelum itu cuba mengeluarkan bola menggunakan kaki kirinya namun tertampan ke dalam gawang.
Pujian buat Paulo Josue yang berjaya memerangkap zon pertahanan IFC dengan larian dari belakang sehingga memaksa Rizal membuat tindakan segera itu bagaimanapun sentuhan kurang sempurna mengundang padah buat tuan rumah.
Babak kedua perlawanan menyaksikan skuad Warga Kota menambah jaringan pada minit ke-56 menerusi tandukan Safawi yang menyempurnakan sepakan percuma Manuel Hidalgo.
Malang berganda menimpa skuad Mighty Tigers apabila KL City dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-83 selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan kekasaran oleh Rafael Holstein terhadap pemain pelawat dalam kotak penalti.
Hidalgo yang mengambil sepakan penalti itu tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan dengan merembat kencang bagi memastikan kemenangan 3-0 buat pasukannya.