Liga Super musim ini disifatkan seolah-olah ‘liga sarkas’ selepas saingan baharu memasuki fasa awal dengan beberapa keputusan besar serta isu pendaftaran pemain yang menimbulkan persoalan mengenai tahap kompetitif liga.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, jurang ketara antara pasukan yang benar-benar bersedia dengan kelab yang masih bergelut untuk melengkapkan skuad boleh memberi kesan besar kepada perjalanan Liga Super, termasuk risiko ada pasukan yang tidak mampu bertahan sehingga penghujung musim.
Mengikut rekod beberapa perlawanan awal, penyokong bola sepak tempatan dikejutkan dengan keputusan besar termasuk kekalahan Kelantan Red Warrior (KRW) FC 1-4 kepada Selangor FC sebelum dibelasah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-9.
KRW juga berdepan sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus mengehadkan kemampuan kelab itu untuk memperkuatkan skuad bagi menghadapi saingan Liga Super.
KL City pula menjadi tumpuan apabila gagal menurunkan pasukan untuk aksi menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 22 Ogos lalu, sebelum MFL memberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata kepada NSFC serta mengenakan denda RM50,000 terhadap kelab ibu negara itu.
Pasukan The City Boys juga dibelasah 0-6 oleh Kuching City selepas hanya menurunkan 10 pemain selain JDT sekali menunjukkan taringnya dengan mencatat kemenangan besar 7-0 mengatasi Star City FC.
Pekan Ramli berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan Liga Super ketika ini seolah olah mempunyai tiga kategori pasukan, iaitu kelab yang benar-benar bersedia, pasukan yang bersedia tetapi tidak sepenuhnya dan pasukan yang langsung tidak bersedia.
“Kalau orang nak kata liga sarkas, kita dah nampak di peringkat awal ini. Seolah-olah ada pasukan yang betul-betul bersedia ataupun pasukan itu memang terlalu hebat dan kita tidak nafikan mereka adalah pasukan yang betul-betul profesional, tanpa masalah dan tanpa isu.
“Tetapi ada pasukan yang tidak benar-benar bersedia. Ada tiga kategori pasukan. Satu yang betul-betul bersedia, kedua pasukan yang bersedia tetapi tidak begitu bersedia dan ketiga pasukan yang sememangnya tidak bersedia langsung,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan pengurusan liga profesional seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila setiap pasukan sepatutnya mempunyai persiapan luar musim yang lengkap sebelum saingan bermula.
“Setiap pasukan bila nak bermula musim baharu, mereka lengkap dengan persiapan luar musim, latihan dan pemain pun sudah bersedia. Bila mula sahaja musim, semuanya lengkap.
“Pasukan itu sudah lengkap dengan semangat baharu dan pengurusan yang begitu profesional. Tetapi apa yang berlaku kepada kita macam itulah yang kita tengok,” katanya.
Pada masa sama, Pekan turut mempersoalkan keputusan yang dibuat MFL, khususnya sama ada badan pengelola itu mengambil kira kepentingan ekosistem bola sepak secara menyeluruh atau lebih tertumpu kepada keperluan beberapa pasukan tertentu.
“Kalau kita masih lagi malas, keputusan yang dibuat oleh MFL pun nampak tidak tahu apa alasan yang mereka beri itu, adakah telah melihat kepentingan ekosistem bola sepak kita secara holistik ataupun hanya melihat kepada keperluan satu dua pasukan sahaja,” katanya.
Selain itu, keputusan besar yang berlaku pada awal musim turut menimbulkan persoalan mengenai standard sebenar Liga Super sekali gus bakal menyaksikan lebih banyak ‘bala’ menanti pada masa akan datang.