KUALA LUMPUR: Pemain sensasi skuad Malayan Tigress Bawah 17 tahun (B-17), Lim You dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Srikandi Merdeka 2026 dengan lapan gol.
Pemain berusia 14 tahun itu jauh meninggalkan pencabar terdekat dari Thailand, Kawinthida Kikuntod yang meledak lima gol pada pertandingan ini.
Pemain berdarah warisan itu sebelum ini menggegar arena bola sepak antarabangsa apabila meledak tujuh gol dengan semuanya menggunakan kaki kiri ketika membantu skuad negara membelasah Arab Saudi 9-0.
Rekod ini jelas satu rekod yang jarang untuk dilakukan kerana berdasarkan semakan, hanya ada beberapa pemain wanita yang pernah meledak tujuh gol dalam satu perlawanan rasmi.
Antaranya ialah Deki Lhazom yang melakukannya ketika bersama RTC WFC untuk aksi menentang Phuentsholing WFC pada 2026 dan juga pemain Louves Minproff, Flora Kameni pada 2022.
“Saya sangat bersyukur kerana menjadi penjaring gol terbanyak tetapi saya tidak mungkin dapat melakukannya tanpa rakan sepasukan. Mereka terus memberikan motivasi dan menyokong saya, selain banyak membantu saya.
“Untuk semua gol yang dicipta ini. mereka yang memberikan bola dan memberi kepercayaan kepada saya. Terima kasih juga kepada jurulatih yang percaya dan melatih saya,” katanya seperti dipetik menerusi CNN Indonesia.
Meskipun skuad negara gagal ke final apabila tumbang 1-5 di tangan Thailand kerana sekali lagi beraksi dengan 10 pemain, anak buah Fairuz Montana Zainal Abidin menebus kekecewaan pada aksi penentuan tempat ketiga.
Mereka menamatkan saingan dengan meraih tempat ketiga selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas Jordan pada aksi yang berlangsung di Super Soccer Arena, Kudus, Indonesia, petang semalam.
Lim You meledak gol kedua negara pada pertembungan itu disusuli gol ketiga menerusi sepakan penalti yang dijaringkan kapten, Keisha Adeliena Muhammad Khalid
yang juga anak kepada legenda pasukan kebangsaan, Khalid Jamlus.
Cucu kepada cef selebriti, Chef Wan iaitu Isabella Saffiya O’Luanaigh melengkapkan kemenangan negara dengan gol keempat pada minit akhir perlawanan.
Menariknya, Keisha Adeliena terbabit dalam kesemua empat gol yang dihasilkan oleh skuad negara ketika berdepan Jordan sekali gus membolehkan dia meledak satu gol dan tiga bantuan gol.