KUALA LUMPUR: Perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching menganggap penyertaan di Terbuka Jepun minggu depan sebagai pentas terbaik untuk menguji kemampuan sebenar apabila berdepan pemain-pemain terbaik dunia dalam kejohanan bertaraf Super 750.
Pemain ranking ke-36 dunia itu berkata, dia tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi di Tokyo, sebaliknya mahu memberikan persembahan terbaik sambil terus menimba pengalaman dan meningkatkan keyakinan diri.
“Ini kali kedua saya beraksi dalam kejohanan Super 750 selepas Terbuka Singapura. Saya tahu saingan pada tahap ini memang sangat sukar, jadi saya hanya mahu memperbaiki pelan permainan dan meningkatkan keyakinan.
“Bagi saya sekarang pemain dalam kelompok 50 terbaik dunia pun sudah sangat kuat. Apatah lagi kelompok 20 dan 10 terbaik, mereka memang berada pada standard yang berbeza. Saya cuma mahu beri yang terbaik dan belajar daripada mereka,” katanya.
Ling Ching mengakui dia masih belum berpuas hati dengan prestasi semasanya selepas bergelut mendapatkan semula rentak permainan susulan kecederaan yang dialami sebelum ini.
“Saya rasa masih banyak yang perlu dipelajari dan prestasi saya pun belum cukup konsisten. Selepas saya cedera, dua atau tiga kejohanan sebelum ini saya agak sukar mendapatkan semula rentak permainan.
“Sebab itu saya anggap Terbuka Jepun sebagai peluang untuk meningkatkan semula keyakinan diri,” katanya.
Menurut pemain berusia 22 tahun itu, dia kini sedang melalui proses mengubah corak permainan dan taktikal bagi menyesuaikan diri dengan tahap lebih tinggi dalam kejohanan bertaraf Super 500 dan Super 750.
“Sebelum ini tahap permainan saya mungkin sudah mencukupi untuk kejohanan Super 100 dan Super 300. Tetapi bila beraksi dalam Super 500 dan Super 750, saya dapat rasakan tahapnya memang berbeza.
“Jadi sekarang banyak perkara yang saya sedang ubah daripada segi pelan permainan dan taktikal. Memang dalam proses perubahan itu akan ada kesilapan dan prestasi yang turun naik, tetapi saya sedang melalui proses itu,” katanya.