sukan

Lira tekad hadiah kejayaan buat Selangor FC

Kuala Lumpur: Penyerang baharu Selangor FC, Willian Lira bertekad untuk menghadiahkan gelaran utama kepada Red Giants sebaik diumumkan sebagai bintang terbaharu menyertai pasukan itu.

Jelas bekas pemain Kedah Darul Aman FC itu, dia percaya Selangor FC mempunyai kemampuan untuk melaksanakan misi itu sepanjang musim 2025/2026 nanti.

“Matlamat saya untuk membantu pasukan bersaing merebut kejuaraan dan, sudah tentu menjaringkan gol sebanyak yang mungkin.

“Saya pernah melakukannya bersama kelab lain sebelum ini, tetapi kali ini saya mahu melakukannya untuk Selangor.

“Setiap hari saya akan memberikan yang terbaik untuk menyumbang kepada pasukan, sama ada di dalam atau di luar padang,” kata pemain kelahiran Brazil itu.

Lira, 32, diumumkan sebagai pemain import keempat skuad Merah Kuning bagi mengharungi persaingan Liga Malaysia, serta kejohanan antarabangsa termasuk Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) dan Kejuaraan Kelab Asean.

Dia memulakan kerjayanya di Brazil, di mana Lira mewakili beberapa kelab di Campeonato Brasileiro Série B dan Série C, termasuk Icasa, Ferroviário, Portuguesa, dan São Bernardo FC.

Impak besar pertama Lira di Asia adalah di Jepun bersama Ventforet Kofu, di mana dia beraksi untuk dua musim (2021–2022), mencatatkan 18 gol dalam 70 penampilan Liga J2.

Ayam tambatan itu kemudiannya memainkan peranan penting dalam kemenangan bersejarah Ventforet Kofu menjuarai Piala Emperor 2022 kelab, menunjukkan keupayaan dan komitmennya untuk beraksi dalam perlawanan-perlawanan besar.

Lira kemudian meneruskan kerjayanya di Asia Tenggara bersama Kedah Darul Aman FC pada awal 2023 sebelum menyertai Chonburi FC di Thailand untuk musim 2023/24, di mana dia terus mencipta nama dengan prestasi prolifiknya menerusi 15 gol dalam 30 perlawanan Liga 1 Thai.

sumber:- HM

Musim lalu, dia bersama sebuah kelab di Emiriah Arab Bersatu iaitu Hatta Club, menambah 13 gol dan lima bantuan dalam 23 penampilan pada musim 2024/25.