Liverpool ‘menangis’ jika jual Salah

London: Liverpool mungkin perlu berfikir dua kali sebelum membenarkan Mohamed Salah meninggalkan kelab pada jendela perpindahan musim sejuk kerana nilai pasarannya telah merudum.

Bintang Mesir itu masuk sebagai pemain gantian dan mencatat satu bantuan jaringan ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menewaskan Brighton pada Sabtu.

Sebelum itu, bintang Mesir terbabitmemberi bayangan dalam satu temu bual bahawa perpindahan dari Anfield pada pertengahan musim mungkin berlaku.

Malah, dia mungkin membuat penampilan terakhirnya bersama Liverpool sekiranya dijual pada Januari, memandangkan Salah menyertai Mesir bagi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Namun, menurut CIES Football Observatory, The Reds hanya boleh menjangkakan yuran perpindahan sekitar £30 juta (RM164 juta) sekiranya mereka menjualnya bulan depan sekali gus satu angka yang mengejutkan.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding apa yang boleh diperoleh Liverpool kurang dua setengah tahun lalu, apabila mereka menolak bidaan £150 juta (RM822 juta) daripada Al-Ittihad.

Ia juga bermakna kelab gergasi Merseyside itu bakal menanggung kerugian selepas membelanjakan £36.9 juta (RM202 juta) untuk membawa Salah dari Roma pada 2017.

Kejatuhan mendadak nilai pasaran Salah ini pastinya menjadi tamparan hebat buat Liverpool, ketika masa depan pemain itu terus menjadi tanda tanya susulan luahan terbukanya.

Ketua eksekutif Liga Pro Saudi, Omar Mugharbel, sebelum ini mengesahkan bahawa pemain sayap itu menjadi sasaran kelab-kelab di Timur Tengah.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada Liverpool bersedia berunding, selepas Salah diberi peluang menebus dirinya dalam perlawanan menentang Brighton.

Peluang itu hadir selepas dia mengadakan perbincangan positif secara bersemuka dengan pengendali, Arne Slot, selepas diketepikan daripada lawatan ke Inter Milan minggu lalu.

Salah kemudian membantu Hugo Ekitike menjaringkan gol kedua penyerang Perancis itu dalam perlawanan Sabtu berkenaan.

Namun, bekas pemain Chelsea itu kini dijangka terlepas beberapa perlawanan penting ketika Liverpool berusaha mengembalikan momentum musim mereka.

Penglibatan Salah dalam AFCON bermakna dia tidak dijangka kembali ke Merseyside sehingga 2026 manakala Al-Hilal dilaporkan sudah memberi bayangan untuk melancarkan bidaan ‘harga rendah’ bagi mendapatkan khidmatnya.