Bintang bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, menyifatkan 2025 sebagai tahun penuh cabaran bagi dirinya dan berazam membuka lembaran baharu lebih baik pada 2026.
Penyerang berusia 27 tahun itu, mesra disapa Mickey, menonjol dengan prestasi cemerlang bersama Harimau Malaya dan kelabnya, Selangor FC, apabila kembali menampilkan sentuhan berbisanya di atas padang.
Mickey berjaya mencatat tiga gol berturut-turut bersama skuad negara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027, termasuk gol tunggal kemenangan 1-0 menentang Nepal pada 18 November lalu, sekali gus mengekalkan rekod kemenangan bersih Harimau Malaya dalam lima perlawanan.
Selain itu, dia turut meledak satu gol ketika Harimau Malaya menewaskan Laos 3-0 di gelanggang lawan pada 9 Oktober, sebelum mengulang prestasi dengan satu lagi gol dalam kemenangan 5-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, lima hari kemudian.
Faisal mengakui apa yang berlaku sepanjang 2025 merupakan ujian besar buat dirinya dan keluarga.
“2025 tahun yang sangat mencabar, untuk menjadi lebih kuat pada tahun 2026. Insya-Allah pada tahun 2026 lebih baik. Terima kasih yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya,” katanya.
Pada masa sama, dia juga akui apa yang terjadi sepanjang tempoh 2025 adalah ujian dan cabaran yang mematangkannya untuk mengharungi 2026.
“Apa yang terjadi pada tahun 2025 ini adalah ujian untuk kita dan keluarga. Kita mulakan 2026 ini dengan lebih baik untuk kita dan keluarga. @nrsyxzwnyy, i love you sayang,” katanya.
Di luar padang, Faisal turut menjadi tumpuan selepas dilaporkan menghadapi kemelut rumah tangga bersama isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril, yang mencetuskan kontroversi peminat bola sepak tempatan.
Pada November lalu, pasangan ini dilaporkan bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor sebelum kembali rujuk pada Disember, menamatkan spekulasi yang berlegar di media sosial.
Nukilan Faisal itu turut mendapat reaksi balas daripada Nur Syazwani yang menulis komen, ‘Insya-Allah, amin. Love you more’ di Instagram, menandakan hubungan mereka kini berada dalam keadaan lebih positif.