sukan

Luahan perasaan Aaron-Wooi Yik selepas eksperimen tukar pasangan

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik mengakui bukan mudah untuknya memulakan gandingan baharu selepas lebih 10 tahun bergandingan dengan Aaron Chia, susulan eksperimen pertukaran pasangan yang dilaksanakan barisan kejurulatihan kebangsaan.

Wooi Yik, 28, berkata keserasian yang sudah dibina bersama Aaron dalam tempoh panjang menyebabkan perubahan pasangan pada awalnya agak sukar, namun pengalaman itu turut memberinya peluang mempelajari sesuatu yang baharu dalam permainan.

“Ia sukar pada awalnya kerana kami sudah lama membina momentum dan ada perkara yang sudah tetap dalam permainan. Jadi apabila tiba-tiba perlu berubah, ia bukan sesuatu yang mudah untuk saya dan Aaron.

“Ini pengalaman baharu bagi saya kerana ini kali pertama saya bertukar pasangan. Kami cuba membina sesuatu seperti kepimpinan dan perkara lain yang jurulatih mahu lihat,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Bagaimanapun, selepas kembali bergandingan pada Kejohanan Dunia di New Delhi, India, pasangan ranking keempat dunia itu berjaya mara ke pusingan ketiga selepas bangkit menewaskan wakil Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 15-21, 21-11, 21-18 dalam tempoh 58 minit, semalam.

Juara dunia 2022 itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras selepas kehilangan set pertama sebelum bangkit menguasai dua set berikutnya untuk menempah tempat dalam kelompok 16 terbaik.

Aaron berkata, Kejohanan Dunia kali ini menjadi penampilan terakhir mereka bersama pada tahun ini kecuali berjaya muncul juara dan memperoleh tiket automatik ke Jelajah Dunia Akhir yang dijadualkan berlangsung Disember depan.

“Apa yang dirancang jurulatih adalah kami akan bertukar pasangan untuk beberapa kejohanan bagi melihat sama ada gandingan baharu lebih baik atau pasangan asal lebih baik.

“Seperti yang jurulatih sudah beritahu, ini kejohanan terakhir kami bersama tahun ini kecuali kami memenangi gelaran dunia. Jika itu berlaku, kami akan layak secara automatik ke Jelajah Dunia Akhir.

“Selepas ini kami akan bergandingan dengan pasangan berbeza, jadi ini kejohanan terakhir kami tahun ini dan kami akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Aaron mengakui eksperimen berkenaan turut memberi mereka pengalaman berbeza selepas bertahun-tahun tidak pernah melalui situasi pertukaran pasangan.

“Ini sesuatu yang berbeza dan kami tidak pernah mencubanya sebelum Kejohanan Dunia. Ia membuatkan kami berasa lebih segar dan datang ke sini tanpa terlalu banyak tekanan.

“Jadi kami mahu bermain dengan lebih menyeronokkan,” katanya.

Bagi Wooi Yik, tempoh beraksi bersama pasangan lain sejak bulan lalu turut membantunya memperbaiki beberapa aspek permainan sebelum kembali bergandingan dengan Aaron.

“Saya belajar sesuatu sejak bulan lalu dan dalam latihan juga saya rasa ada peningkatan secara peribadi. Kami mahu menambah sesuatu yang segar dalam permainan.

“Kami sudah bergandingan sekitar 10 atau 11 tahun. Bukan mudah untuk berpisah, jadi kami anggap ini sebagai satu proses penyegaran. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini, jadi buat masa sekarang kami fokus kepada apa yang ada,” katanya.