Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia, meluahkan kekecewaan atas kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen tujuh pemain warisan digantung.
“Johor Darul Ta’zim FC (JDT) kecewa kerana kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen oleh FA Malaysia (FAM) menyebabkan tiga pemain pasukan kebangsaan Malaysia yang bermain untuk JDT digantung tugas,” kata Garcia menerusi laman X Johor Southern Tigers.
“Kami berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin dan pemain dapat mewakili JDT dalam masa terdekat.”
Jumaat lalu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), berkaitan pemalsuan dokumen.
FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
Tiga pemain JDT, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta tiga lagi pemain warisan baharu negara iaitu Imanol Machuca, Facundo Garces, Gabriel Palmero dan Rodrigo Holgado dikenakan hukuman oleh FIFA pada 26 September lalu berikutan isu ketidaksahihan warganegara Malaysia.