KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin terus meraih pengalaman bermakna di Jepun apabila tampil buat kali kedua bersama YSCC Yokohama.
Luqman yang diletakkan dalam kesebelasan utama beraksi 56 minit dalam pertembungan dengan Matsumoto FC, hari ini.
Ia menjadi penampilan sulung penyerang muda berusia 22 tahun itu dalam saingan Liga 3 Jepun (J3) dengan perlawanan itu berkesudahan 1-1.
Yokoham berada di depan menerusi jaringan Ryotaro Yamamoto pada minit ke-49 sebelum Hayato Asakawa menyamakan kedudukan pada minit ke-79.
Rabu lalu, Luqman yang dipinjamkan dari kelab Belgium, KV Kortrijk membuat penampilan pertama di bumi Jepun selepas diturunkan pada aksi Piala Levain.
Dia masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-77 menentang Mito Hollyhock bagi pusingan pertama.
sumber:-BH
Pada aksi di Stadium Nippatsu Mitsuzawa itu, YSCC Yokohama melakar kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Koki Matsumura pada minit ke-67.