sukan

Luqman enggan mengsia-siakan peluang ini

Kuala Lumpur: “Saya akan terima sahaja dan buat yang terbaik sekiranya diberi peluang beraksi”.

Demikian keazaman diluahkan penyerang sensasi skuad Harimau Malaya, Luqman Hakim Shamsudin yang bersedia menggalas tugas di jentera hadapan sekiranya diturunkan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal, Selasa ini.

Luqman, 23, yang pernah beraksi selama lima musim di luar negara termasuk di Liga Belgium, Iceland dan Jepun berkata, posisi kegemarannya adalah di posisi sayap kiri namun sedia memikul tanggungjawab selaku penyerang.

“Posisi kegemaran saya bermain di sayap kiri dan juga berperanan sebagai pemain nombor 10. Namun, saya tak kisah di mana posisi yang jurulatih mahu letak saya kerana mereka yang tahu bahagian mana saya patut bermain.

“Saya akan terima sahaja dan buat yang terbaik sekiranya diberi peluang beraksi. Ini salah satunya peluang yang terbaik untuk saya tunjukkan yang saya pun boleh bersaing dengan rakan yang lain.

“Sebelum ini pun situasi perjalanan saya ada naik dan turun. Jadi, itu pengalaman hidup saya yang saya dapat mematangkan lagilah dalam diri saya dalam bidang bola sepak. Apa yang perlu saya buat hanya untuk meningkatkan lagi prestasi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ujarnya, dia akan menggunakan peluang yang diberikan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski sebaik mungkin terutama selepas sekian lama menunggu untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya.

“Saya rindu sangat untuk menyarungkan jersi negara sebab sebab sudah setahun lebih (tidak dipanggil). Jadi, dalam setahun lebih itu pun saya berharap saya dapat peluang untuk dipanggil. Sekarang ini mungkin rezeki saya,” katanya.

Untuk rekod, selepas menamatkan kontrak dengan kelab KV Kortrijk, dia memilih pulang ke Liga Malaysia dengan menyertai Negeri Sembilan FC sejak awal musim ini.

Hasilnya Luqman dilihat sudah menemui semula sentuhan pemusnah yang sebelum ini pernah dilabel pemain paling muda berbakat Asia selepas muncul penjaring terbanyak dalam Piala Asia B-16 pada 2018 lalu.