KUALA LUMPUR: Impian peminat untuk melihat penampilan sulung pemain naturalisasi, Jordan Mintah bersama skuad kebangsaan sekali lagi tidak kesampaian.
Ia susulan penyerang Kuching City itu terpaksa digugurkan daripada skuad Harimau Malaya bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 November ini.
Skuad kebangsaan menerusi laman Facebook, Malaysia NT memaklumkan tempat yang ditinggalkan Mintah itu akan diganti dengan penyerang Negeri Sembilan, Luqman Hakim Shamsudin yang sebelum ini diletakkan dalam senarai bersedia.
“Luqman Hakim Shamsuddin dipanggil menyertai kem latihan berpusat menggantikan Jordan Mintah yang terpaksa meninggalkan kem atas faktor kesihatan,” kata Malaysia NT.
Terdahulu BH Sukan melaporkan Mintah semakin hampir untuk membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya bagi aksi menentang Nepal selepas terlepas dua aksi Kumpulan F ketika berdepan Laos, bulan lalu.
Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini turut berada dalam kem Harimau Malaya namun tidak disenaraikan dalam skuad menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober lalu kerana faktor dokumentasi yang masih belum selesai.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski memaklumkan kepada pemberita, semalam bahawa beliau difahamkan proses dokumentasi Mintah berada pada peringkat akhir.
“Saya difahamkan masih ada sedikit urusan dokumentasi yang perlu diselesaikan. Saya berasa ia kini berada pada peringkat akhir dan harapnya dia boleh tersedia sepenuhnya untuk dipilih bagi perlawanan (menentang Nepal),” kata Cklamovski.
Berdepan Nepal, Harimau Malaya membawa misi meneruskan rentak kemenangan dalam kempen kelayakan selepas merekodkan kemenangan bersih dalam empat perlawanan sebelum ini untuk berada di kedudukan teratas Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata, tiga mata di depan pencabar utama Vietnam.