sukan

Luqman perlu sedikit masa untuk turun beraksi – Nidzam

SEREMBAN: Hasrat penyokong Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk melihat kelibat penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin beraksi dalam masa terdekat mungkin tidak kesampaian berikutan pemain terbabit setakat ini dikatakan belum cergas sepenuhnya.

Situasi pemain berkenaan disahkan ketua jurulatih pasukan itu, Mohd Nidzam Jamil, yang mengakui penyokong skuad Hobin Jang Hobin perlu menunggu sedikit masa lagi untuk melihat aksi Luqman dalam saingan Liga Super terutama di gelanggang sendiri.

Negeri Sembilan FC bakal menanti kunjungan Selangor FC pada perlawanan kedua Liga Super musim ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.

“Untuk perlawanan Liga Super akan datang dengan Selangor FC mungkin tidak dapat turunkan dia (Luqman) dan mungkin ketika menentang Kuching (City), dia lebih bersedia untuk beraksi.

“Dia perlu sedikit masa lagi untuk benar-benar pulih dan cergas sepenuhnya,” kata Mohd Nidzam hari ini.

Setakat ini, Negeri Sembilan FC sudah melalui dua perlawanan iaitu menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) dalam aksi pembukaan Liga Super di tempat lawan pada 12 Ogos lalu dan pusingan pertama 16 pasukan Piala FA menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC , di Paroi, Isnin lalu.

Dalam kedua-dua perlawanan berkenaan, Luqman bukan sahaja tidak berada dalam barisan kesebelasan utama malah senarai sebagai pemain simpanan.

Sebagai rekod, Luqman kembali semula ke tanah air dengan menyertai Negeri Sembilan FC selepas lima tahun berkelana di Belgium, Iceland dan Jepun.

Sebelum ini, pihak kelab memaklumkan Luqman dikatakan tidak dapat diturunkan susulan kecederaan yang dialami ketika persiapan pramusim.

Mohd Nidzam turut mengesahkan khidmat kapten pasukan, Ahmad Khuzaimi Piee juga tidak dapat dimanfaatkan ketika menentang The Red Giants susulan pemain berpengalaman itu masih belum cergas sepenuhnya.

“Sama juga dengan Jimmy (Ahmad Khuzaimi), saya boleh bagi tahu beliau juga tidak dapat beraksi ketika bertemu Selangor FC nanti. Dia memerlukan sekurang-kurangnya tujuh ke sepuluh hari lagi, kemudian kita tengok kemajuannya selepas daripada itu,” ujarnya.