sukan

Machuca kelihatan kembali menjalani latihan bersama Velez Sarsfield

KUALA LUMPUR: Pemain warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca kembali menjalani latihan bersama kelabnya, Velez Sarsfield susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan hukuman penggantungan 12 yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan video yang dikongsikan Velez Sarsfield di laman sosial mereka, Machuca kelihatan giat menjalani latihan bersama kelab Argentina itu dan akan menyarung jersi bernombor 7.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Isnin lalu memaklumkan CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh Machuca dan enam lagi pemain warisan iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Keputusan itu bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan oleh FIFA terhadap pemain terbabit ditangguhkan buat sementara waktu dan mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, semalam memaklumkan pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada FIFA mengenai status kebenaran buat pemain terbabit kembali beraksi untuk skuad kebangsaan Malaysia.

“Kita pun buat masa ini sedang berbincang dengan FIFA untuk mendapat maklumat yang lebih terperinci berhubung status pemain-pemain ini, sama ada boleh bermain untuk pasukan kebangsaan.

“Apa yang kita tahu, pemain-pemain ini dapat beraksi untuk kelab, itu pasti. Namun, sama ada mereka boleh beraksi dalam pasukan kebangsaan, kita masih lagi menunggu maklumat yang lebih terperinci daripada FIFA.

“FIFA sudah pun membuat keputusan yang berasingan berhubung dengan status perlawanan persahabatan. Jadi, sudah ada keputusan yang berasingan bahawa pemain ini tidak boleh beraksi untuk pasukan kebangsaan.

“Jadi kita kena tunggu dan lihat apakah butiran daripada CAS. Maknanya pemain boleh bermain sehingga kes ini diputuskan sepenuhnya. Buat masa ini kita pun tunggulah maklumat terperinci sama ada mereka boleh bermain untuk pasukan kebangsaan atau tidak,” katanya.

Masa depan tujuh pemain terbabit yang didakwa terpalit dengan isu pemalsuan dokumen bakal diketahui pada persidangan rayuan di CAS yang akan berlangsung pada 25 dan 26 Februari ini.

Skuad Harimau Malaya dijadual mengharungi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Pusat Sukan Thien Truong, Nam Dinh pada 31 Mac ini.