Kuala Lumpur:”Pekakkan telinga, dan fokus ke dalam perlawanan”.
Itu nasihat bekas pemain kebangsaan, Mahali Jasuli yang pernah melalui detik getir beraksi di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) pada 2010 dan 2011 lalu.
Mahali, 36, mengakui insiden hitam di GBK hampir 14 tahun lalu masih kekal diingatannya apabila Harimau Malaya ‘diserang’ dengan pelbagai objektif serta provokasi hingga menyaksikan terpaksa menaiki kereta perisai barracuda untuk keluar dari venue itu.
Katanya, situasi sama mungkin akan dilalui skuad bawah 23 (B-23) tahun negara apabila turun menentang Indonesia dalam aksi ketiga Kumpulan A saingan Piala AFF B-23 malam esok.
Namun katanya, pemain negara perlu kekal tenang dan jangan terikut-ikut suasana gegak gempita penyokong tuan rumah itu nanti.
“Untuk skuad Malaysia B-3, saya sebagai bekas pemain yakin yang mereka masih lagi mempunyai kualiti yang baik untuk menandingi skuad Indonesia. Sebab ialah kita pun tahu, main dekat sana tak mudah.
“Tapi tidak ada yang mustahil di mana jika pemain dapat mengawal tempoh dan mengurangkan tekanan, saya percaya pemain-pemain yang diberi tanggungjawab boleh menghasilkan sesuatu yang positif untuk skuad negara.
“Untuk saya, tak perlu berasa takut sebab, sebagai saya sendiri pernah alami suasana yang lebih…lebih…lebih mencabar.
“Tapi Alhamdulillah dapat (menewaskan Indonesia di GBB), dan saya pun percaya mental pemain pun berada dalam keadaan yang bagus,” katanya ketika ditemui pada saingan Liga 7×7 Zurich All-Stars di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Untuk rekod, Mahali adalah tonggak utama skuad Harimau Malaya yang menjulang Piala AFF pada 2010 lalu yang menyaksikan pasukan negara menewaskan Indonesia di final menerusi agregat 4-2.
Setahun kemudian, Mahali sekali lagi membantu pasukan B-23 negara menumbangkan Indonesia di final Sukan Sea yang berlangsung di GBK untuk meraih pingat emas.
Malah, kedua-dua insiden berkenaan menyaksikan Malaysia terpaksa di bawa keluar dari GBK dengan menaiki kereta perisai barracuda bagi menjaga keselamatan pasukan negara.
Mahali turut berkongsi tips kepada pemain muda negara dengan berharap agar kekal percaya pada diri sendiri.
“Waktu itu saya ingat lagi, kenangan di mana kita tahu Indonesia pasukan yang bagus. Tapi dari segi saya dengan pemain, kita orang yakin dengan kebolehan pemain-pemain kita sendiri.
sumber:- stadium astro
“Walaupun kita tahu, bukan mudah nak bermain di GBK, tapi pemain tahu tanggungjawab masing-masing. Memang final itu, semua bekerja keras dan satulah, mereka betul-betul main. Kita semua betul-betul main demi nama negara,” katanya.