sukan

Main guna otak, bukan otot: Pemain warisan buktikan kelas Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Perbezaan kelas yang dipamerkan pemain warisan ketika Harimau Malaya membenam Vietnam empat kosong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 terus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak negara.

Pujian tidak putus-putus ditujukan kepada nama baharu seperti Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Facundo Garces dan Jon Irazabal yang tampil buat kali pertama menyarung jersi negara namun terus meninggalkan impak luar biasa.

Aksi mereka bukan sahaja menyuntik semangat baharu dalam pasukan, malah turut membuka mata ramai mengenai jurang kualiti antara pemain warisan dan pemain tempatan apabila beraksi di pentas antarabangsa.

Bekas bintang Kedah dan Perak, Azmeer Yusof menyifatkan perbezaan utama bukanlah semata-mata fizikal namun cara mereka berfikir yang jauh lebih pantas dan tajam.

“Mereka sama sahaja macam kita. Dua tangan, dua kaki, satu mulut, satu lidah. Tapi saiz mereka memang lebih besar, itu kita kena terima. Cuma, yang paling ketara ialah mereka guna otak dengan lebih efisien.

“Sebelum bola sampai ke kaki, mereka sudah tahu apa nak buat. Sebelum lawan bertindak, mereka dah pun bertindak. Masa kita baru nak fikir, mereka dah pun jaringkan gol,” katanya menerusi satu hantaran panjang di laman Facebook.

Menurut Azmeer, ketajaman minda dan keupayaan membuat keputusan sepantas kilat menjadi tunjang utama kepada kejayaan pemain warisan di atas padang.

Katanya lagi, pemain tempatan juga boleh mencapai tahap terbabit, namun perlu kerja keras dan berfikir lebih jauh berbanding sekadar reaksi spontan.

“Kadang-kadang saya cuba juga fikir dua tiga langkah ke depan. Tapi bila sampai masa, keputusan lambat pula datang. Sedangkan mereka dah buat semua sekali gus. Sebab itu kita rasa syok sangat tengok mereka main,” katanya lagi.

Selain itu, Azmeer turut menyentuh satu lagi aspek penting yang membezakan pemain warisan dengan pemain tempatan iaitu ketenangan ketika berada di atas padang.

“Pemain import, bahaya macam mana pun masih tenang. Kita pula, asyik fikir nak ‘clear’ bola. Walaupun ada pengalaman, tetap sama juga. Jadi balik semula pada tiga benda tadi iaitu cara fikir, bertindak dan buat keputusan,” jelasnya.

sumber:- HM

Baginya, kehadiran pemain warisan perlu diraikan sebagai satu kelebihan buat negara, bukannya dijadikan isu yang memecahbelahkan.