KUALA LUMPUR: Malaysia tampak perlu lebih berhati-hati apabila berdepan Cape Verde dalam aksi persahabatan antarabangsa, malam esok selepas pasukan dari Afrika itu sudah ‘menghidu’ beberapa maklumat mengenai Harimau Malaya.
Pemain Cape Verde yang juga bintang import Selangor, Alvin Fortes menjadi antara penyumbang maklumat itu yang mana ia mungkin membantu kepada ketua jurulatihnya, Pedro Brito dalam merangka strategi untuk memerangkap Harimau Malaya.
Mengakui mendapat beberapa maklumat daripada Fortes, Brito bagaimanapun menjelaskan perkara paling penting buat pasukannya adalah mengenai apa yang bakal direncanakan untuk di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu nanti.
“Kami mempunyai pemain (yang bermain) di beberapa negara dan kami gembira memiliki seorang pemain yang berakdi di Malaysia. Sudah pasti dia memberikan beberapa maklumat mengenai bola sepak dan pasukan kebangsaan Malaysia.
“Namun, bagi kami, apa yang penting adalah apa yang akan kami lakukan persiapkan untuk perlawanan esok serta perlawanan yang akan datang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Cape Verde hadir dengan reputasi lebih besar yang mana skuad Blue Sharks itu berada jauh di depan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila menghuni tangga 72 dunia, berbanding Harimau Malaya di kedudukan 131.
Berbeza 59 anak tangga, ramai yang beranggapan Cape Verde tiada masalah untuk mencipta kemenangan dan mereka juga sudah pasti hadir dengan misi ‘wajib menang’ bagi mengelak dimalukan pasukan kendalian Peter Clamovski.
Brito atau lebih dikenali sebagai Bubista bagaimanapun menjangkakan pasukannya tidak akan berdepan tugas mudah selain turut teruja apabila kali pertama akan menentang Malaysia.
“Ranking bukan jaminan kami akan hadapi tugas mudah. Bagi kami, apa yang penting adalah mengani cabaran yang bakal kami hadapi esok. Kami ada beberapa pemain muda yang kali pertama menyertai pasukan.
“Seperti yang saya katakan, kami negara kecil, penting untuk kami mendapat perlawanan berbeza bagi meraih pengalaman yang berbeza,” katanya.