sukan

Malayan Tigress B-17 cipta kejutan keatas pasukan tuan rumah

KUALA LUMPUR: Skuad negara membuka kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2026 dengan langkah kanan apabila menewaskan tuan rumah Tajikistan 2-0 di Stadium Central, Dushanbe, malam tadi.

Aksi penuh bertenaga dipamerkan pemain negara yang menguasai permainan sejak awal babak pertama, sebelum Laila Syamila membuka tirai jaringan pada minit ke-15 hasil gerakan tersusun dari tengah padang.

Keteguhan benteng pertahanan muda negara turut menjadi kunci kemenangan apabila berjaya mengekang beberapa gerakan berbahaya pasukan tuan rumah dengan tenang dan berdisiplin.

Ketika permainan berbaki enam minit, Dishanna Pillay memastikan kemenangan mutlak buat Malaysia selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 untuk mengesahkan keputusan 2-0.

Kemenangan berharga itu bukan sahaja membuka peluang besar buat skuad Malayan Tigress B-17 memburu tiket ke pusingan akhir, malah membuktikan kemampuan mereka bersaing di pentas Asia.

Selepas satu perlawanan, Malaysia mengutip tiga mata menghuni tangga kedua Kumpulan A, di belakang Filipina yang mendahului carta selepas membelasah Syria 5-0.