sukan

Malayan Tigress kejutkan Palestin

PASUKAN bola sepak wanita negara memulakan kempen kelayakan Kumpulan H Piala Asia Wanita 2026 dengan langkah cemerlang apabila menundukkan Palestin 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan.

Jaringan tunggal skuad Malayan Tigress kendalian Joel Cornelli hadir pada minit ke-86 menerusi pemain gantian, Farahiyah Ridzuan yang menyudahkan hantaran daripada Nur Adrienna.

Kecemerlangan penjaga gol negara, Nurul Azurin Mazlan, turut menjadi tumpuan apabila beliau berjaya menafikan sepakan penalti pemain Palestin, Dima Alrumhi, sebelum jaringan kemenangan dicatatkan.

Sebagai rekod, Kumpulan H turut dibarisi pasukan gergasi Asia, Korea Utara, serta tuan rumah, Tajikistan. Hanya juara kumpulan akan mara ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Australia dari 1 hingga 21 Mac tahun depan.

Sementara itu, pasukan pilihan, Korea Utara membenam Tajikistan 10-0 di venue yang sama untuk memimpin kumpulan dengan kelebihan jaringan, berkongsi tiga mata bersama Malaysia di kedudukan kedua. Palestin di tempat ketiga manakala Tajikistan keempat.

sumber:- SH

Malaysia dijadualkan bertemu Tajikistan pada Khamis ini, sebelum menamatkan kempen peringkat kumpulan menentang bekas juara tiga kali, Korea Utara pada Sabtu.