sukan

Malaysia akan menamatkan penantian emas Sukan Olimpik – Rexy

KUALA LUMPUR: ‘Orang kuat’ skuad badminton kebangsaan, Rexy Mainaky ada naluri yang kuat Malaysia akan menamatkan penantian bagi memenangi pingat emas sukan itu di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu meletakkan bekas juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai taruhan utama untuk memenuhi impian berkenaan.

Rexy yang berpengalaman luas baik sebagai pemain dan jurulatih, berkata pasangan nombor lima dunia itu menunjukkan peningkatan yang cukup positif selepas hampir sebulan menjalani latihan intensif di ABM dalam persiapan menghadapi temasya terbesar dunia itu.

Katanya, persiapan yang cukup baik dan faktor penerimaan yang ditunjukkan dua atlet itu, menerbitkan satu perasaan yang mana dia sangat yakin bahawa Malaysia akan membawa pulang emas dari Paris.

Malah, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu juga optimis dua lagi wakil daripada skuad kebangsaan iaitu Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mampu membawa pulang pingat.

“Dari segi prestasi, semua pasangan ke Olimpik terutamanya beregu lelaki adalah setara dan menjelang temasya Paris, setiap pemain akan berada di bawah tahap tekanan tinggi, bukan pemain kita sahaja pemain dari negara lain juga.

“Untuk Aaron-Wooi Yik, selama saya melihat persiapan mereka… cukup bagus dan saya melihat apa yang Frederick Tan (pakar psikologi) lakukan meningkatkan kekuatan mental mereka dan itu adalah satu kelebihan,” kata Rexy.

Dalam pada itu, Rexy tidak menafikan peluang Pearly-Thinaah untuk mencabar kejuaraan.

“Situasi (kekurangan) bagi Pearly-Thinaah mungkin dari segi Olimpik menjadi pengalaman pertama buat mereka tetapi kita harus bantu mengatasinya.

“Kadang-kadang pemain yang baru kali pertama ke Olimpik akan banyak fikir dan hilang fokus, tetapi boleh berlaku sebaliknya sebagaimana dicapai pemain Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu yang memenangi pingat emas beregu wanita di Olimpik Tokyo,” kata Rexy, yang menceritakan bagaimana Greysia-Apriyani membawa pulang emas pertama dalam beregu wanita Indonesia.

sumber:-BH

Temasya Tokyo menjadi penampilan kedua Greysia dalam beregu wanita, namun yang pertama buat Apriyani dan mereka layak ke temasya sukan terbesar dunia itu ketika menduduki ranking kelapan dunia.