MALAYSIA berpeluang meneruskan aksi sensasi ketika berdepan pasukan ranking dunia ke-80 Oman, pada perlawanan ketiga Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Muscat, Khamis malam ini (Jumaat, 2 pagi waktu Malaysia).
Selepas mengejutkan Kyrgyzstan 4-3 dan menewaskan Taiwan 1-0 tahun lepas, kemenangan ataupun sekurang-kurangnya keputusan seri berdepan skuad Red Warriors itu, akan memastikan Malaysia kekal sebagai pendahulu Kumpulan D dengan berbaki tiga perlawanan.
Malaysia, di ranking ke-132, kini mengumpul enam mata diikuti Oman kedua yang berkongsi tiga mata bersama Kyrgyzstan di tempat ketiga manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.
Justeru, satu mata di Muscat sudah cukup untuk memastikan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon kekal di landasan tepat, untuk mencipta sejarah baharu membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat julung kali.
Ia juga akan meredakan tekanan dan meletakkan pasukan di kedudukan lebih selesa, apabila dijadual melayani kunjungan lawan sama di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 26 Mac ini.
Namun pertembungan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat, terlebih dahulu bakal memberikan cabaran hebat kepada anak buah Pan Gon, yang kekurangan minit perlawanan kompetitif berbanding barisan pemain Oman, selepas liga domestik hanya akan bermula Mei depan.
Malaysia juga menerima tamparan awal apabila berlepas ke Muscat tanpa ketua pasukan Matthew Davies dan Junior Eldstal susulan kecederaan, namun Pan Gon memiliki pilihan yang pelbagai bersama 24 pemain dalam skuad kali ini antaranya dibarisi 18 pemain skuad Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas.
Pan Gon turut menyenaraikan empat pemain utama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan iaitu dua pemain tengah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nooa Laine, serta dua pemain pertahanan Muhammad Azam Azmi Murad dan Harith Haiqal Adam Afkar.