JURULATIH Muay Thai negara, Bernard Radin optimis Malaysia mampu melahirkan lebih ramai jaguh Muay Thai negara seperti Mohammad Rifdean Masdor untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Beliau berkata, misi melahirkan atlet berbakat seperti Rifdean tidak boleh terhenti separuh jalan malah perlu dipergiat dari masa ke masa.
Menurutnya, sudah sampai masa untuk negara menumpukan kepada pembangunan sukan yang dilihat mampu menyerlah seperti Muay Thai dengan mengeluarkan bajet besar dan memberi fokus kepada pembangunan sukan tersebut.
“Mungkin sebelum ini atlet muda kita tidak mendapat peluang untuk beraksi dalam kejohanan berprestij iaitu ONE Championship, namun apabila peluang itu muncul mereka membuktikan anak Malaysia mampu cemerlang dalam sukan Muay Thai.
“Ini era baharu arena Muay Thai negara dan terbukti rakyat Malaysia mampu mencipta nama di kejohanan besar cumanya kebanyakan yang mempunyai bakat belum ada peluang untuk menyinar dalam peringkat antarabangsa,” kata Bernard ketika ditemui di Headhunter Academy Ipoh di sini hari ini.
Rifdean, 21, memulakan langkah sulungnya dalam ONE Championship dengan penuh bergaya apabila menumbangkan lawannya dari Thailand, Pichai Lookbanmai dalam tempoh 78 saat menerusi Technical Knockout (TKO) dalam pertarungan ONE Friday Fights 56.
Diberi nama jolokan ‘Magic Boy’, atlet Muay Thai kelahiran Sarawak yang mewakili kelab Sor Sommai membawa pulang bonus 350,000 baht (RM45,700) berikutan kemenangan dikecapinya di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok, Sabtu lalu.
sumber:-SH
Sementara itu Bernard berkata, pihaknya berharap pembabitan lebih banyak penyumbang dan penaja termasuk syarikat korporat dalam usaha untuk memajukan sukan itu.