sukan

Malaysia patut mara ke pusingan kalah mati – Rexy

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky jelas terkilan selepas skuad badminton negara gagal melepasi peringkat kumpulan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China.

Jelas Rexy, Malaysia mempunyai peluang untuk layak ke pusingan kalah mati selepas mengambil kira kekuatan pasukan lawan dalam Kumpulan B yang diundi bersama-sama Indonesia dan Hong Kong.

Namun begitu, biarpun kecewa, beliau melihat kejohanan berkenaan adalah satu pentas terbaik untuk pemain muda mendapatkan pengalaman.

“Walaupun ini adalah acara berpasukan campuran (senior dan junior) tetapi itu bukan bermaksud kita tidak mahu mara lebih jauh dan menjadi juara. Masih ada beberapa pemain yang dilihat masih kurang dari segi usaha di kejohanan itu.

“Kalau bercakap mengenai keputusan, memang kita kecewa tetapi jika tidak berani beri kesempatan kepada pemain mendapatkan pengalaman, bila lagi,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara hari ini.

Sementara itu, Rexy melihat sekiranya beregu campuran berjaya mendapatkan mata pertama buat kem negara, peluang untuk melangkah ke suku akhir itu lebih cerah namun terjadi sebaliknya apabila kedua-dua pasangan yang diturunkan, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tewas kepada lawan masing-masing.

sumber:-HM

Terdahulu, Malaysia hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu kemenangan untuk layak ke pusingan kalah mati namun sedikit strategi yang kurang menjadi perlu dibayar dengan harga yang mahal apabila menamatkan persaingan di kedudukan ketiga daripada tiga pasukan dalam Kumpulam B.