KUALA LUMPUR: Kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam pada aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menyaksikan skuad Harimau Malaya kini menjadi pilihan untuk mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.
Menerusi satu simulasi dilakukan laman sesawang Footyrankings ke atas semua 24 pasukan yang bertanding di pusingan kelayakan itu, skuad bimbingan Peter Cklamovksi itu diramalkan memiliki peluang cerah mara ke pertandingan elit itu buat dua kali berturut-turut selepas edisi 2023.
Susulan kemenangan ke atas Vietnam, peluang Malaysia untuk muncul selaku juara Kumpulan F sekali gus mara ke Piala Asia 2027 meningkat daripada 46 kepada 79 peratus selepas menghimpun enam mata maksimum daripada dua perlawanan.
Dengan 79 peratus peluang dimiliki ketika ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan skuad negara sudahpun dianggap separuh kaki bagi menyertai saingan terkemuka benua Asia itu pada 2027 nanti.
Vietnam pula diramal hanya memiliki peluang 21 peratus untuk layak ke Piala Asia apatah lagi selepas Malaysia memiliki kelebihan besar menerusi rekod pertembungan (head to head) sekiranya kedua-dua pasukan terikat menerusi pungutan mata selepas pusingan kelayakan berakhir nanti.
Bagaimamapun, ini tidak bermakna skuad kebangsaan boleh bersenang-lenang memandangkan mereka ada tiga lagi aksi yang perlu diselesaikan sebelum menutup kempen kelayakan menentang skuad ‘Naga Emas’ di tempat lawan pada 31 Mac ini.
Mereka perlu mengutip mata penuh dalam tiga pertembungan bermula dengan dua aksi berturut-turut menentang pasukan di ranking ke-190 dunia, Laos pada Oktober ini disusuli pertemuan dengan Nepal (175) pada November di tempat lawan.
Hakikat itu turut diakui penyerang skuad negara, Joao Figueiredo yang menuntut rakan sepasukannya supaya terus bekerja keras bagi menunjukkan persembahan yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya.
“Persembahan pasukan sangat baik (ketika menentang Vietnam) dan kita perlu terus bekerja keras untuk menjadi bertambah baik. Ini hanya langkah pertama dan masih banyak lagi yang perlu kita tunjukkan.
“Kita perlu menunjukkan peningkatan dan tidak boleh gembira dengan satu perlawanan. Sasaran kita lebih besar daripada ini,” kata penyerang Istanbul Basaksehir itu.
Sebagai rekod, penyerang kelahiran Brazil itu meledak gol pembukaan ketika membantu skuad nengara membelasah Vietnam 4-0 di di Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu lalu.
sumber:- BH
Tiga lagi gol disumbangkan Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools dengan kesemua empat jaringan dihasilkan pada babak kedua.