sukan

Mampukah Harimau Malaya rebut slot ke Piala Asia 2027

KUALA LUMPUR: Selepas gagal mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 sekali gus terlepas slot automatik ke Piala Asia 2027, skuad Harimau Malaya kini perlu memandang ke depan dengan memburu baki enam lagi slot ke Piala Asia 2027.

Pasukan yang gagal mendapat tiket automatik ke Piala Asia 2027 masih berpeluang melayakkan diri ke saingan berprestij Asia itu menerusi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung dari 25 Mac 2025 hingga 31 Mac 2026 membabitkan enam perlawanan.

Setakat ini, 18 pasukan sudah melayakkan diri ke Piala Asia 2027 selepas berjaya muncul dua pasukan terbaik pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang berakhir, semalam.

18 pasukan terbabit adalah Arab Saudi, Australia, Iran, Iraq, Uzbekistan, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Korea Selatan, Oman dan Kyrgyzstan.

Palestin, Bahrain, China, Indonesia, Korea Utara, Jordan dan Kuwait melengkapkan senarai 18 pasukan terbabit.

Bagaimanapun, cabaran Malaysia di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 ini jauh lebih sengit memandangkan 24 pasukan yang kecundang pada pusingan kedua perlu merebut hanya enam slot yang ditawarkan untuk ke Piala Asia 2027 itu nanti.

Ini bermakna hanya juara kumpulan pada pusingan ketiga kelayakan akan menyertai 18 pasukan yang sudah melayakkan diri ke saingan yang akan berlangsung di Arab Saudi itu.

Format pertandingan menyaksikan 24 pasukan itu akan dibahagikan kepada enam kumpulan yang diisi empat pasukan dan bermain di tempat sendiri dan tempat juga lawan membabitkan enam perlawanan.

Ranking setiap pasukan untuk mengisi empat balang akan bersandarkan kepada ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ketika undian yang akan dijalankan sebelum Mac 2025.

Setiap kumpulan akan diisi dengan setiap pasukan daripada setiap balang terbabit menerusi undian.

Berdasarkan ranking semasa, Malaysia menjadi pasukan terbaik dari Balang 2 dan pasukan yang turut mengisi Balang 2 adalah Filipina, Turkmenistan, Afghanistan, Singapura dan Yaman.

Balang 1 terdiri dari Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam, Lubnan dan India.

sumber:-BH

Hong Kong, Taiwan, Maldives, Myanmar, Nepal dan Bangladesh mengisi Balang 3 manakala Bhutan, Laos, Pakistan dan tiga pemenang ‘play-off’ akan berada dalam Balang 4.