sukan

Mampukah Kelantan Red Warrior cipta kejutan esok?

Apa nasib seterusnya yang bakal diterima pendatang baharu Liga Super, Kelantan Red Warrior (KRW) FC apabila akan turun menentang naib juara musim lalu, Kuching City FC, petang esok.

Kuching City menjadi pasukan ‘gergasi’ ketiga yang terpaksa dihadapi skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dalam tiga perlawanan awal mereka selepas berdepan Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Malah, pasukan dari Pantai Timur itu bolos 13 gol hanya dalam dua aksi awal susulan tewas 1-4 kepada Selangor pada aksi pembukaan di Stadium Sultan Muhammad IV, sebelum dibelasah JDT 9-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Lebih malang, KRW yang masih dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini berdepan masalah tambahan apabila skuad mereka diserang influenza.

Kelab itu dalam kenyataan di laman Facebook, semalam memaklumkan bahawa tiga pemain mereka disahkan positif virus berkenaan, manakala ujian saringan terhadap 17 lagi pemain pula mendapati lapan daripadanya menunjukkan gejala termasuk demam dan sakit badan.

Situasi itu pasti menambah pening kepala Irfan apatah lagi aksi berdepan Kuching City yang pada awalnya dijadual berlangsung di Kota Bharu kini ditukarkan ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Irfan bagaimanapun menegaskan pasukannya akan cuba berusaha mempersiapkan skuad terbaik bagi menghadapi perlawanan itu walaupun memiliki majoriti pemain yang kurang pengalaman beraksi di pentas Liga Super.

“Kami akan cuba (berikan aksi terbaik menentang Kuching City). Namun, disebabkan oleh sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA), kami tidak boleh ambil pemain baharu dan terpaksa menggunakan pemain yang ada.

“Pengurusan berusaha untuk menyelesaikan masalah dengan FIFA yang mana masalah itu bukan berpunca daripada mereka, tetapi kelab terpaksa menanggung,” katanya.

Selepas mengharungi dua aksi awal, KRW kini berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata dan menjadi pasukan yang merekodkan jumlah bolos paling banyak setakat ini.