KUALA LUMPUR: Mampukah Sabah menewaskan gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menamatkan penantian panjang selama 30 tahun untuk kembali menjulang Piala FA?
Persoalan itu yang sedang hangat bermain di bibir peminat bola sepak tanah air ketika ini menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
Sabah menamatkan penantian selama 27 tahun untuk melangkah ke final Piala FA musim ini selepas kali terakhir berada di pentas akhir kejohanan itu pada 1998.
Kini, impian lebih besar seluruh peminat Sabah untuk melihat pasukan mereka menjulang Piala FA selepas tiga dekad dengan skuad Badak hanya sekali menjulang trofi itu pada 1995 apabila menewaskan Pahang 3-1 dalam aksi final di Stadium Merdeka.
Namun, tugas skuad kendalian Jean-Paul de Marigny bukan mudah kerana mereka perlu berdepan halangan terbesar daripada JDT yang juga juara empat kali.
Atas kertas, JDT menjadi pilihan untuk bergelar juara berdasarkan rekod kebal Harimau Selatan yang sudah empat tahun tidak tewas dalam kancah bola sepak tempatan selepas dikejutkan Kuala Lumpur (KL) City 2-0 pada aksi final Piala Malaysia 2021.
BH Sukan mendapatkan bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee yang turut berada dalam skuad Sabah ketika menjulang Piala FA 1995 untuk mengulas mengenai peluang kedua-dua pasukan bagi aksi final, Ahad ini.
“Ini final pertama bagi kebanyakkan pemain dalam skuad Sabah, kecuali Apek (Khairul Fahmi Che Mat) yang sudah banyak kejuaraan. Sudah tentu siapa yang bermain dalam final pun inginkan kemenangan.
“Jadi, mereka harus mengambil kesempatan ini untuk memberikan yang terbaik. Sabah boleh ambil contoh seperti KL City pada 2021 (kalahkan JDT di final Piala Malaysia). Jadi dalam bola sepak, kita tahu setiap pertandingan, setiap perlawanan akhir, situasinya berbeza.
“Ia hanya satu perlawanan dan pemain tidak perlu fikirkan mengenai perkara lain. Apa pun boleh berlaku dalam masa 90 minit, 120 minit mahu pun penentuan sepakan penalti. Jadi mereka harus bersikap positif, walaupun sebagai pasukan underdog, tetapi pemain harus pastikan mereka bersaing dan memberi tentangan untuk cuba mendapatkan keputusan yang baik.
“Bagi Sabah, saya berasa Stuart Wilkin akan menjadi pemain yang penting untuk mereka terutama pengalamannya dengan pasukan kebangsaan dan bermain di Stadium Nasional, dia mempunyai sentuhan yang baik.
“Dia pernah beberapa kali menjaringkan gol bersama skuad kebangsaan di Bukit Jalil. Jadi, saya rasa dia nadi untuk Sabah untuk mencipta gol atau melakar banyak peluang untuk pasukan.”
JDT
“Kita tak nafikan yang JDT sudah tentu pasukan pilihan dan kita tahu mereka mempunyai barisan pemain berkualiti yang ramai dan skuad terbaik, bukan saja dalam Liga Malaysia tetapi juga di pentas pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“Kita harus realistik, sudah pasti dengan pelbagai rekod yang mereka ada pasti akan memberi mereka lebih keyakinan. Namun, perlawanan final ini adalah sekali sahaja, jadi mereka juga tidak akan mengambil mudah dengan apa yang akan berlaku pada perlawanan akhir nanti.
“Sudah tentu JDT akan merasai kehilangan Arif Aiman Hanapi, tetapi secara keseluruhan, saya percaya ada ramai lagi pemain yang menunggu peluang dan mampu mengisi slot ditinggalkan Arif Aiman.
“Kalau kita tengok, Bergson pemain tumpuan bagi JDT. Setiap kali dalam perlawanan penting seperti ini, dia akan mendapatkan gol atau pun selalu beraksi dengan baik untuk membantu pasukan meraih kemenangan.
“Jadi Bergson adalah pemain yang Sabah harus awasi. Namun, kita tahu JDT mempunyai bukan 11 tetapi 23 pemain yang berkualiti dan siapa yang beraksi sekali pun Sabah harus bersiap sedia dengan corak permainan terbaik.”