sukan

Mamut bakal kembali perkuat TFC

KUALA TERENGGANU: Kerinduan peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) untuk menyaksikan penampilan pertama penyerang import, Ivan Mamut pada musim ini bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Ini kerana penyerang import kelahiran Croatia itu dilaporkan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kini menunggu masa untuk kembali bersama pasukan.

Berita gembira buat peminat setia skuad Penyu yang menanti kehadiran penyerang import tinggi lampai itu dikongsi Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain.

Jelasnya, pemain yang meledak 22 jaringan sepanjang 32 penampilannya bersama skuad Penyu pada musim lalu dijangka hadir dalam masa terdekat.

“Insya-Allah jika tiada aral dan semuanya berjalan dengan lancar, penyerang import itu (Mamut) bakal kembali memperkuatkan pasukan Terengganu pada bulan Disember ini.

“Pemain itu dilaporkan sudah sembuh daripada kecederaan yang dialaminya, kita harapkan Mamut cergas dan mampu beraksi dengan baik bagi menajamkan lagi jentera serangan pasukan.

“Buat peminat, sokongan padu daripada anda ditagih dalam memastikan pasukan terus bangkit dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara,” kata Mohd Syahrizan.

Terdahulu pemain berusia 27 tahun itu cedera tendon achilles di kaki kirinya ketika menjalani latihan pra-musim sekali gus menyaksikan dia perlu berehat panjang.

sumber:-BH

Sepanjang ketiadaan pemain itu, jentera serangan skuad Penyu dilihat tumpul biarpun mempunyai dua penyerang import – Ismaheel Akinade dan pemain baharu kelahiran El Salvador, Nelson Bonilla.