KUALA TERENGGANU: Penyerang import Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut, meluahkan kekecewaan selepas gagal membuat sebarang penampilan bersama skuad Penyu sepanjang musim 2024/2025 akibat kecederaan.
Pemain kelahiran Croatia itu yang mengalami kecederaan achilles tendon pada kaki kiri, disahkan sudah pulang ke negaranya minggu lalu sebelum perlawanan menentang PDRM FC berlangsung.
Situasi itu sekali gus menyaksikan Mamut menamatkan kempen musim ini tanpa sebarang aksi bersama TFC, dengan hanya berbaki satu perlawanan lagi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC.
“Tiada kata lain selain memohon maaf dan terima kasih kepada semua – rakan sepasukan, pihak pengurusan dan penyokong – kerana saya gagal membantu pasukan dan langsung tidak dapat beraksi musim ini.
“Tiada siapa yang mahukan kecederaan, lebih-lebih lagi apabila ia berlarutan sehingga hampir menamatkan musim. Tetapi ini adalah realiti yang perlu saya terima,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas pulang.
Mamut mengakui tetap berbangga pernah menjadi sebahagian daripada keluarga besar TFC, walaupun musim kali ini tidak berakhir sebagaimana yang diharapkan.
“Saya amat menghargai setiap sokongan daripada kelab dan penyokong setia. Walaupun musim ini berakhir dengan kekecewaan, saya tetap gembira menjadi sebahagian daripada pasukan ini.
“Jika diberi peluang musim depan dan bergantung kepada tahap kecederaan saya, saya bersedia kembali bersama TFC untuk musim 2025/2026,” katanya.
sumber:- BH
Untuk rekod, Mamut muncul antara tonggak utama TFC apabila meledak 22 gol daripada 32 penampilan dalam semua kejohanan, termasuk menjadi watak penting dalam kempen Piala AFC.